PM Anwar Kecewa Masyarakat Antarabangsa Gagal Hentikan Kezaliman Israel Ke Atas Gaza

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi temubual bersama India Global Today sewaktu lawatan rasmi beliau ke New Delhi baru-baru ini.

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kekecewaannya terhadap “kegagalan sepenuhnya” masyarakat antarabangsa dalam mendesak Israel menamatkan kekejaman di Gaza.

“Saya gagal memahaminya, terus terang. Saya benar-benar sedih dengan kegagalan sepenuhnya masyarakat antarabangsa atas nama demokrasi dan hak asasi manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual dengan India Today di luar lawatan rasmi tiga hari ke New Delhi minggu ini.

Anwar berkata beliau baru-baru ini bercakap dengan Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani dan Presiden Iran Masoud Pezeshkian mengenai kemajuan rundingan gencatan senjata serta perkembangan di rantau itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi temubual bersama India Global Today sewaktu lawatan rasmi beliau ke New Delhi baru-baru ini.

Dalam perbualannya dengan pemimpin berkenaan, Anwar menyatakan sokongannya untuk menghentikan kezaliman perang di Gaza dengan segala cara.

Anwar berkata beliau tidak membenarkan kezaliman yang dilakukan oleh mana-mana pihak, dan bahkan dalam perbincangan dengan pemimpin Hamas, beliau memberitahu mereka sebagai seorang sahabat, beliau mendukung keamanan dan penyelesaian damai terhadap konflik itu.

“Saya tidak menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas, kerana mereka berjuang untuk kebebasan mereka. Jika anda keras dengan keganasan, bagaimana dengan penjajahan, bagaimana pula dengan politik perampasan? Mengapa ada piawaian berganda?,” tanya beliau.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi temubual bersama India Global Today sewaktu lawatan rasmi beliau ke New Delhi baru-baru ini.

Beliau berkata kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap rakyat Palestin dan tanah mereka bukan bermula pada 7 Oktober tahun lalu, tetapi telah berterusan sejak lebih 70 tahun lepas.

“Bagi saya, hentikan dahulu penjajahan, mustahil seseorang yang waras pada zaman sekarang ini boleh membenarkan pencerobohan, penjajahan.

“Tetapi ini telah dibenarkan dan mereka memberi berbagai alasan untuk merasionalkan (serangan) itu hanya kerana 7 Oktober. Jadi, mengapa ada sikap meremehkan ini?,” katanya.

Serangan berterusan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober membunuh lebih 40,000 rakyat Palestin dan mencederakan hampir 93,000 orang, walaupun resolusi Majlis Keselamatan PBB menggesa gencatan senjata segera.

Sekatan yang berterusan juga menyebabkan enklave itu mengalami kekurangan keperluan asas yang teruk termasuk makanan, air bersih, ubat-ubatan dan bahan api manakala sebahagian besar bangunan di Gaza tinggal dalam bentuk runtuhan.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *