Mpox: Singapura Mula Laksana Saringan Suhu Di Lapangan Terbang, Pusat Pemeriksaan Laut

Pemeriksaan suhu dan visual mula dilaksanakan di semua pintu masuk ke Singapura bagi mengekang penularan wabak mpox. Foto The Straits Times
SINGAPURA, 23 Ogos – Singapura dijadual melaksanakan saringan suhu dan visual di Lapangan Terbang Changi serta Lapangan Terbang Seletar terhadap pelawat dan juga kru penerbangan dari tempat yang berkemungkinan terdedah kepada risiko wabak cacar monyet atau mpox, mulai hari ini.
Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura, langkah saringan serupa juga akan dilaksanakan di pusat pemeriksaan laut terhadap anak kapal dan penumpang yang tiba dengan kapal dari kawasan terjejas dengan penyakit itu.
“MOH, Kementerian Pengangkutan serta Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan akan melaksanakan langkah berjaga-jaga untuk meningkatkan keupayaan pengawasan kami terhadap mpox di sempadan,” menurut MOH dalam satu kenyataan, semalam..
Ketika ini, tiada penerbangan terus antara Singapura dengan mana-mana negara yang berlaku penularan wabak mpox.
MOH berkata, nasihat kesihatan telah dilaksanakan di pusat pemeriksaan udara supaya pelancong mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak daripada dijangkiti penyakit itu.
“Pelancong sangat digalakkan untuk mematuhi maklumat itu, terutama jika mereka melancong ke dan dari negara yang terjejas.
“Pelancong yang mengalami demam, ruam dan/atau gejala yang serasi dengan mpox, akan dirujuk untuk penilaian perubatan,” katanya lagi.
Langkah berjaga-jaga untuk mengesan dan menguruskan kes mpox, kekal tidak berubah.
Tahun ini hingga semalam, terdapat 13 kes mpox disahkan di Singapura yang mana semuanya adalah jangkitan varian clade II yang kurang teruk. Setakat ini, tiada kes mpox varian clade I dikesan di republik ini.
Penularan wabak hanya berlaku di Afrika, manakala dua kes mpox varian clade I yang lebih teruk dilaporkan di Sweden dan Thailand. Buat masa ini, tiada laporan mengenai penyebaran tempatan di kedua-dua negara itu.
“MOH akan terus memantau keadaan dengan teliti, dan memastikan langkah kesiapsiagaan serta tindak balas kami disesuai berdasarkan risiko kesihatan awam yang berlaku,” menurutnya.
Pada 14 Ogos lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global yang menjadi kebimbangan antarabangsa.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


