PM Anwar Kagum Kreativiti Peniaga Bazar Ramadan Cari Rezeki

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni peniaga dan pengunjung di Bazar Ramadan Kampung Baru, Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur pada 24 Februari 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 24 Feb – Kegigihan dan kreativiti peniaga yang menjalankan perniagaan di bazar Ramadan, mendapat pujian Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di media sosial, Perdana Menteri merasai sendiri suasana cukup meriah dengan pelbagai juadah tradisi dan kreativiti usahawan kecil yang tidak pernah luntur semangat dalam mencari rezeki.

“Saya sempat berbual dan mendengar sendiri pandangan serta cabaran yang dihadapi para peniaga yang menuntut sokongan masyarakat, bukan sekadar membantu ekonomi setempat, tetapi mengukuhkan semangat kebersamaan yang menjadi teras Malaysia MADANI.

“Moga Ramadan ini membawa seribu keberkatan, mempererat silaturahim dan menyemai rasa syukur dalam setiap langkah kita semua,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan masa meninjau Bazar Ramadan Kampung Baru di Jalan Raja Alang, di sini, hari ini.

Beliau yang tiba pada jam 6.10 petang meluangkan masa kira-kira 30 minit berjalan ke gerai sambil menyantuni peniaga dan pengunjung bazar Ramadan yang terkenal di ibu negara itu.

Perdana Menteri dilihat beramah mesra dengan peniaga dan pembeli sambil bertanyakan mengenai jualan serta persediaan sepanjang Ramadan.

Pengunjung juga tidak melepaskan peluang merakam gambar dan berswafoto dengan Perdana Menteri yang meninjau suasana dan kemeriahan bazar Ramadan yang cukup popular di kalangan pelancong asing sejak sekian lama.

Tinjauan itu turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Anwar turut menyaksikan kesungguhan peniaga dan kemeriahan pengunjung mendapatkan juadah berbuka puasa pada hari keenam umat Islam menjalani ibadah puasa hari ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
