PM Anwar Kacau Bubur Lambuk Di Tambun

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kanan) mengacau bubur lambuk pada program Gerak Rahmah 2024: Jom masak bubur lambuk di Dewan Orang Ramai Taman Meru, Ipoh, hari ini. Foto Muhamad Nazreen Syah Musthafa
IPOH, 25 Mac – Sebanyak 10,000 bekas bubur lambuk diedarkan dalam program Gerak Rahmah 2024: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Parlimen Tambun yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, hari ini.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun meluangkan masa kira-kira 15 minit bagi menghadiri seterusnya menyempurnakan gimik perasmian program anjuran Kementerian Perpaduan Negara itu di Dewan KRT Taman Meru, di sini.
Anwar serta beberapa hadirin kenamaan lain turut dilihat ‘mengacau’ adunan bubur lambuk yang sedang dimasak.
Hadir sama ke program itu Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Dalam program sama, Anwar turut menyempurnakan gimik agihan menerusi Penyampaian Sumbangan Rahmah berupa 150 sumbangan kotak Rahmah selain lima kerusi roda kepada golongan memerlukan sekitar parlimen Tambun.

Sementara itu Aaron berkata pelaksanaan program di bawah Kluster Komuniti Rahmah itu selaras dengan komitmen Kementerian Perpaduan Negara dalam memperkasa Rukun Tetangga sebagai penggerak dan pengantara penting dalam penganjuran program komuniti, kesukarelawanan, dan kenegaraan pada peringkat akar umbi.
Katanya, program sebegitu diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dan menggerakkan KRT sebagai ejen penyatuan masyarakat serta sumbangan kepada pembangunan komuniti yang lebih progresif; selain dapat mencapai matlamat untuk membangunkan Komuniti Rahmah selaras aspirasi membangun masyarakat Madani.
“Secara keseluruhan dianggarkan seramai 450 peserta terdiri daripada 20 KRT Parlimen Tambun, 10 agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) membantu memasak sebanyak 30 periuk bubur lambuk.
“Kerajaan sentiasa berusaha memelihara dan merekayasa perpaduan di peringkat komuniti sebagai suatu pelonjak kepada pembangunan dan pembinaan negara Malaysia yang lebih cemerlang dan harmoni.
“Dalam konteks ini, Rukun Tetangga memainkan peranan amat signifikan di peringkat komuniti khususnya di kala negara berdepan dengan pelbagai isu dan cabaran,” katanya dalam kenyataan sempena program itu.
Aaron lagi, program Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan yang dilaksanakan pada 23 Mac lalu secara serentak seluruh negara dengan agihan lebih 600,000 bekas bubur lambuk oleh warga KRT, juga membuktikan nilai kebersamaan di peringkat komuniti.
Katanya, kementerian juga akan melaksanakan program Jom Ronda SRS serta Jom Bersih dan Indah serentak di seluruh negara pada tahun ini sebagai usaha mengukuhkan nilai kebersamaan di peringkat komuniti.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
