PM Anwar, Isteri Hadiri Makan Malam Gala Sidang Kemuncak SCO Dihoskan Presiden Xi Jinping

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail disambut Presiden China Xi Jinping dan isteri Peng Liyuan pada Majlis Makan Malam Gala sempena SCO di Tianjin pada 31 Ogos 2025. Foto Bernama

TIANJIN, 31 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri majlis makan malam gala Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di Pusat Konvensyen Tianjin Meijing di sini, malam ini.

Anwar bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail disambut Presiden China Xi Jinping dan isteri Peng Liyuan di pintu utama pusat konvensyen berkenaan.

Makan malam itu dianjurkan Xi selaku Pengerusi Sidang Kemuncak SCO yang akan berlangsung esok dan antara pemimpin dunia lain yang hadir ialah Presiden Russia Vladimir Putin, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri India Narendra Modi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bergambar bersama Presiden China Xi Jinping dan isteri Peng Liyuan serta pemimpin dunia lain pada Majlis Makan Malam Gala sempena SCO di Tianjin pada 31 Ogos 2025. Foto Bernama

Perdana Menteri tiba di sini petang tadi sempena lawatan kerja empat hari di China termasuk lawatan ke Beijing.

Esok, Anwar yang juga Pengerusi ASEAN dijadual menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak SCO Plus, memfokuskan pada usaha memperdalam hubungan ASEAN-SCO.

Beliau turut dijangka mengetengahkan peranan Malaysia sebagai jambatan antara ASEAN dengan negara anggota SCO dalam meningkatkan kerjasama perdagangan, ekonomi dan bidang-bidang lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail disambut Presiden China Xi Jinping dan isteri Peng Liyuan pada Majlis Makan Malam Gala sempena SCO di Tianjin pada 31 Ogos 2025. Foto Bernama

Sidang Kemuncak SCO tahun ini, terbesar sejak penganjuran pertamanya, diadakan di Tianjin yang merupakan bandar raya pelabuhan dan perindustrian terbesar di utara China.

SCO ditubuhkan di Shanghai pada 2001 oleh China, Rusia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan serta Uzbekistan dan kini, keanggotaannya turut merangkumi Pakistan, India, Iran dan Belarus.

– Oleh Voon Miaw Ping

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *