PM Anwar Imbau Kembali Kenangan Lepaskan Peserta RFC 26 Tahun Lalu

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melepaskan kenderaan pada simbolik Pra-Pelancaran Rainforest Challenge (RFC) Grand Final 2023 di Dataran Putra, Putrajaya hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 7 Nov – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melakukan pelepasan 26 kenderaan pacuan empat roda di Dataran Putra di sini bagi Finale Akhir Rainforest Challenge (RFC).
Anwar, yang tiba pada 5.20 petang, disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Azman Mohd Yusof, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Pelancongan Seni Budaya Datuk Shaharudin Abu Sohoy serta Pengasas merangkap Pengarah Rainforest Challenge and Rainforest Global Series Luis Wee, turut memberikan kata-kata semangat kepada peserta.
PM Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengimbau kenangan dua puluh enam tahun lalu iaitu lebih tepat lagi pada 23 November 1997, beliau yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri telah menyempurnakan perasmian RFC pertama di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
“Menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran Rainforest Challenge (RFC) Grand Final 2023 di Dataran Putra, Putrajaya petang tadi.

“Saya turut mengimbau kembali kenangan melancarkan edisi sulung RFC pada tahun 1997 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
“Selamat maju jaya saya ucapkan kepada 300 peserta RFC yang akan bermula 1 Disember ini,” ujar Anwar dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.
Sementara itu Wee berkata sepanjang 26 kali penganjurannya, RFC telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di mata dunia seterusnya mencapai objektif mempromosi negara sebagai hab pelancongan sukan terutama destinasi penganjuran kejohanan sukan permotoran lasak bertaraf antarabangsa.
Beliau berkata RFC menduduki tempat ketiga daripada 10 pertandingan permotoran paling lasak di dunia sebaris dengan Dakar Rally, BAJA Race, Le Mans 24hr Race dan Isle of Man Race.
Wee berkata Perak dipilih untuk menganjurkan acara itu kerana memiliki pelbagai tarikan pelancongan serta flora dan fauna yang sesuai untuk aktiviti luar seperti sukan permotoran pacuan empat roda.
Kira-kira 300 peserta tempatan dan antarabangsa antaranya dari Rusia, Mongolia, China, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Vietnam, India, Sri Lanka, Thailand, Jepun, Itali, Filipina serta Indonesia mengambil bahagian pada edisi kali ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
