PM Anwar Hubungi Ismail Haniyeh, Ucap Takziah Pemergian Ahli Keluarga

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi Ismail Haniyeh menerusi panggilan telefon mengutus ucapan takziah atas pemergian ketiga-tiga anaknya. Foto YouTube Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 11 Apr – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi pemimpin utama gerakan Hamas iaitu Ismail Haniyeh pada petang Khamis bagi mengucapkan takziah di atas berita pemergian tiga anak lelakinya dalam serangan udara oleh rejim Israel.

Beliau berkata, kehilangan nyawa insan yang tidak berdosa terutamanya kanak-kanak dalam suasana cukup tragik ketika hari raya Aidilfitri amat sukar diterima oleh sesiapa.

“Saya mewakili seluruh rakyat Malaysia menyatakan solidariti tidak berbelah bahagi dan semangat kebersamaan tinggi bersama keluarga Ismail serta seluruh rakyat Palestin yang telah kehilangan keluarga tersayang.

“Malaysia menzahirkan kecaman dan kutukan sekeras-kerasnya ke atas rejim biadab zionis Israel yang berterusan melakukan genosid kebencian ke atas warga Palestin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi Ismail Haniyeh menerusi panggilan telefon mengutus ucapan takziah atas pemergian ketiga-tiga anaknya. Foto YouTube Anwar Ibrahim

“Ini membuktikan mereka tiada keinginan melakukan gencatan senjata sepertimana dituntut Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tempoh hari dan tidak tunduk atau patuh kepada prinsip hukum serta undang-undang antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Ismail kehilangan tiga anak lelakinya iaitu Hazen, Amir dan Muhammad serta beberapa cucu akibat terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza.

Terbaharu, media antarabangsa memaklumkan sejak bermulanya kempen pembunuhan beramai-ramai di Gaza pada 7 Oktober tahun lalu, lebih 33,360 rakyat Palestin telah terbunuh dan 75,993 mengalami kecederaan.

Dalam pada itu, Anwar mendesak agar komuniti antarabangsa bertindak tegas terhadap tentera Israel atas kezaliman yang dibuat dan perlu bekerja untuk menjelmakan keamanan buat rakyat Palestin yang secara konsisten dinafikan sejak 75 tahun lalu.

“Serangan kurang ajar oleh rejim pengecut zionis Israel ini hanya melenyapkan sebarang harapan ke arah penyelesaian secara aman dengan prinsip kemanusiaan dan hak asasi manusia terus diinjak tanpa noktah,” ujar beliau lagi.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *