Kerajaan Akan Segerakan Penyediaan Kemudahan Wad Kelas 3 Di HKL – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni pesakit di wad kelas ketiga HKL hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 11 AprKerajaan akan menyegerakan penyediaan kemudahan yang diperlukan di wad kelas tiga Hospital Kuala Lumpur (HKL) demi keselesaan pesakit, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, akan meneliti keperluan terbabit serta permasalahan lain untuk dibawa kepada perhatian Jemaah Menteri.

“Kita melihat sendiri, macam kawasan wad kelas tiga itu panas sikit dan sesak, dan Menteri (Dr Dzulkefly) akan bawa untuk perhatian Jemaah Menteri agar kita segerakan mana yang perlu,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dengan diiringi Dr Dzulkefly dan Pengarah HKL, Datin Dr Rohana Johan, melawat pesakit yang sedang dirawat di wad perubatan kelas tiga hospital itu, di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni pesakit di wad kelas ketiga HKL hari ini. Foto Bernama

Anwar berkata, beliau yakin Dr Dzulkefly dan Dr Rohana dimaklumkan masalah yang mendesak serta perlu diberi perhatian oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerajaan, bagi memastikan penyediaan prasarana lebih baik di hospital berkenaan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, beliau mahu kajian menyeluruh dilakukan berhubung pemerolehan ubat-ubatan oleh semua hospital dan klinik kerajaan di negara ini supaya tidak berlaku pembaziran serta kerugian.

“Apakah ubat-ubatan itu digunakan sepenuhnya, tidak ada pembaziran dan apakah keutamaan… itu kita perlu beri tumpuan kepada HKL kerana jumlah (yang diperlukan) lebih besar.

“… tetapi kita juga kena beri tumpuan kepada klinik di Kapit, klinik di Manek Urai umpamanya… jadi hal ini dilihat keseluruhannya oleh kementerian dan kita buat keputusan,” katanya.

Anwar turut mengucapkan tahniah kepada HKL atas kecemerlangan prestasi hospital itu yang mendapat pengiktirafan dunia, sekali gus berharap pencapaian berkenaan akan menjadi galakan kepada semua pihak untuk meningkatkan usaha dan perkhidmatan mereka. – BERNAMA


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *