PM Anwar Hadir Majlis Makan Malam Sempena Persidangan Nikkei 2024

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri majlis makan malam sempena Persidangan Nikkei 2024 yang diadakan di Hotel Imperial, Tokyo, Jepun malam tadi. Foto Facebook Anwar Ibrahim
TOKYO, 23 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pemimpin-pemimpin negara lain menghadiri makan malam Persidangan Nikkei 2024 yang diadakan di Tokyo, Jepun, malam tadi.
Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida selaku tuan rumah dan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin turut hadir pada majlis makan malam berkenaan.

“Sekali lagi saya merakamkan penghargaan kepada Nikkei atas jemputan dan layanan yang baik kepada delegasi Malaysia,” kata Anwar.
Majlis makan malam itu dianjurkan bagi meraikan ketua-ketua kerajaan, pemimpin korporat serta delegasi negara-negara yang menyertai persidangan yang bermula hari ini.
Suasana di Hotel Imperial, lokasi majlis itu diadakan meriah dengan para pemimpin saling bertukar pandangan tentang pelbagai perkara yang menyentuh isu semasa terkait persidangan berkenaan.
Terdahulu pada sebelah pagi, Anwar diberi penghormatan menjadi pemimpin pertama menyampaikan ucaptama dengan ucapan beliau berkisar tema ‘ASEAN Leadership In an Uncertain World’ yang menyentuh isu geopolitik dan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan.
Anwar kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Tokyo bermula 22 Mei lalu sehingga 24 Mei ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
