PM Anwar Gesa Semua Pihak Jayakan Tahun Melawat Malaysia 2026

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada pelancaran Cerita Malaysia Kita sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) di Surf Beach, Sunway Lagoon, Subang Jaya pada 30 Januari 2026. Foto PMO
SUBANG JAYA, 30 Jan – Semua pihak perlu memainkan peranan berkesan untuk mengemudi ikhtiar bagi mengangkat martabat negara dalam sektor pelancongan secara menyeluruh, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap pada pelancaran ‘Cerita Malaysia Kita’ sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) di Surf Beach, Sunway Lagoon, di sini hari ini, Perdana Menteri, berkata usaha memajukan pelancongan tidak boleh digalas oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penyertaan menyeluruh merangkumi sektor awam, swasta, badan pelancongan, syarikat serta masyarakat.

“Sebab itu kita harus pastikan semua aspek kegiatan kita, pelancongan yang merupakan satu daripada intinya, yang memerlukan penyertaan semua. Sikap kita, senyuman kita, kerja kita, kesediaan kita mengolah cara-cara tarikan baharu.

“Sektor kerajaan, sektor awam, sektor swasta, badan-badan pelancongan, syarikat, semua ini mengambil peranan melihat secara positif bagaimana boleh kita usahakan ikhtiar tambahan untuk mengangkat martabat negara kita,” ujar Anwar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata potensi negara adalah besar dengan sambutan serta petunjuk pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan ketika ini, namun keadaan itu turut disertai cabaran yang perlu ditangani secara bersama.

“Negara boleh maju dan terserlah sebagai negara hebat, tetapi negara juga boleh mendatar atau merosot. Rakyat telah memilih untuk mencapai kemajuan yang membanggakan dan berjaya,” ujar Anwar lagi.

Perdana Menteri berkata kejayaan hanya dapat dicapai melalui semangat berpasukan dan sokongan antara satu sama lain, selain mengurangkan perbalahan serta sentimen kebencian berasaskan kaum dan agama.

“Ini bukan soal menang atau kalah. Usaha ini memerlukan penyertaan semua pihak serta komitmen untuk memastikan setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak berjaya di negara ini, sambil menerima sokongan dan dorongan yang diperlukan,” kata beliau.

Pada majlis dianjurkan bersama Sunway Theme Parks dan Westar Group, Perdana Menteri turut melancarkan dua inisiatif utama iaitu koleksi khas Sunway Tiny Toys yang mengetengahkan ikon harian Malaysia sebagai cenderamata berinspirasikan warisan, serta program Malaysia Attraction Passport (MAP) iaitu program yang menggalakkan penerokaan domestik melalui pengalaman interaktif merentasi empat tarikan utama mesra keluarga.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.

Antara artis yang membuat persembahan termasuk ratu rock Ella, Ernie Zakri serta pertunjukan bunga api yang memukau ribuan pengunjung termasuk dari dalam dan luar negara.

Pelbagai acara menarik ditampilkan dalam segmen persembahan dan kebudayaan bagi menonjolkan keunikan dan kepelbagaian budaya rencam rakyat Malaysia serta pameran produk makanan tempatan yang boleh dinikmati pelancong.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
