PM Anwar Dijadual Menghadap Sultan Brunei Minggu Depan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan telefon daripada KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 12 Ogos 2026. Foto PMO

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, minggu depan sempena Rundingan Tahunan Pemimpin (ALC) Ke-27 antara Malaysia dan Brunei di di Bandar Seri Begawan.

Anwar berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada Sultan Brunei yang bertanyakan mengenai keadaan kesihatannya serta mendoakan kesihatan dan kesejahteraannya.

“Baginda dengan penuh keprihatinan bertanya khabar serta mendoakan kesihatan dan kesejahteraan saya.

“Menjunjung kasih atas doa dan keprihatinan Kebawah Duli Tuanku. Saya turut mendoakan agar Kebawah Duli Tuanku sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT,” katanya dalam hantaran itu.

“Insya-Allah, saya akan menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia minggu depan di Bandar Seri Begawan bersempena Rundingan Tahunan Pemimpin Ke-27 antara Malaysia dan Brunei Darussalam.”

ALC merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Brunei, yang menjadi pelantar kepada kedua-dua pemimpin untuk menilai semula kerjasama sedia ada, membincangkan isu baharu serta bertukar pandangan mengenai perkara serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima jambangan bunga daripada Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah serta Tunku Ismail pada 11 Ogos 2026. Foto X Anwar Ibrahim

Pertemuan itu akan berlangsung tidak lama selepas Anwar menjalani prosedur laparoskopi elektif bagi merawat hernia abdomen pada 10 Ogos lalu.

Ketua Pasukan Perubatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asri Rangga Abdullah Ramaiah, berkata prosedur itu dijalankan dengan lancar di bawah penjagaan sepasukan pakar perubatan.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, sebelum ini berkata Perdana Menteri menjalani pemeriksaan kesihatan dan akan berada di bawah pemerhatian selama dua hari.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *