PM Anwar Dijadual Hadiri Sidang Kemuncak G20 Di Brazil November Ini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Luar Brazil Mauro Vieira di Kompleks Seri Perdana, hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 25 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengadakan lawatan rasmi ke Brazil sekitar November tahun ini, susulan daripada pertemuan antara beliau dengan Menteri Luar Negeri Brazil, Mauro Vieira.
Dalam satu kenyataan Wisma Putra memaklumkan ia terhasil ketika kunjungan hormat Vieira kepada Anwar di Seri Perdana, hari ini.
Beliau menyampaikan jemputan daripada Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva untuk Anwar menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro pada November depan.
“Brazil terus menjadi rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di rantau Amerika Latin. Pada tahun 2023, Malaysia dan Brazil mencatatkan jumlah dagangan sebanyak RM17.46 bilion, laitu peningkatan sebanyak empat peratus berbanding RM16.86 bilion yang dicatatkan pada tahun 2022.

“Perjumpaan itu menumpukan kepada lawatan rasmi Anwar ke Brazil pada November ini serta aspirasi Malaysia menyertai BRICS.
“Vieira mengalu-alukan permohonan Malaysia (untuk menyertai BRICS) dan memberi jaminan kepada Perdana Menteri akan mendapat sokongan daripada Brazil.
“Lawatan itu secara keseluruhan membuka lembaran baharu hubungan dua hala Malaysia-Brazil dalam usaha mengukuhkan kerjasama yang terjalin sejak tahun 1959,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan Malaysia berhasrat untuk menyertai BRICS supaya suara negara ini dapat didengari di pelbagai pentas antarabangsa.
Beliau dilaporkan berkata, hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS adalah sesuatu yang baik kerana ia bukanlah blok yang berasaskan pertahanan atau keselamatan.
Katanya penyertaan Malaysia adalah bagi memastikan negara tidak berpaksikan kuasa tunggal atau unipolar.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai lawatan kerja berkenaan, Wisma Putra berkata Vieira turut bertemu dengan Mohamad bagi membincangkan mengenai mengenai kerjasama sedia ada antara Malaysia dan Brazil.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
