PM Anwar Bertolak Ke Parlimen Usai Solat Jumaat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertolak ke Dewan Rakyat dari Bangunan Perbendaharaan selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Fathurrahman PPAM Melinjau, Presint 11, Putrajaya pada 10 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 10 Okt – Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat di Surau Fathurrahman, Projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Melinjau Putrajaya sebelum berangkat ke Parlimen bagi membentangkan Belanjawan MADANI Keempat jam 3.30 petang tadi.
Ketika di surau, Perdana Menteri berkesempatan beramah mesra dengan jemaah yang hadir.

“Alhamdulillah hari ini menunaikan solat Jumaat di Surau Fathurrahman PPAM Melinjau, Putrajaya bersama para jemaah lain. Insya-Allah, selepas ini akan terus ke Parlimen bagi membentangkan Belanjawan MADANI Keempat,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Belanjawan 2026 adalah belanjawan keempat yang dibentangkan Kerajaan MADANI pimpinan Anwar dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Ia sekali gus menjadi asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
Menurut kenyataan Prabelanjawan 2026 yang disiarkan melalui laman sesawang khas Kementerian Kewangan, Belanjawan 2026 akan meneruskan momentum berpandukan asas kukuh yang telah dibina menerusi Belanjawan MADANI sebelum ini.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
