Belanjawan 2026: Beg Diguna PM Anwar Hasil Tenunan OKU

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan beg tenunan yang dihasilkan individu OKU untuk pembentangan Belanjawan 2026 di Kementerian Kewangan di Putrajaya pada 10 Oktober 2025. Foto Faiz Alif Zubir

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Beg dibawa Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Dewan Rakyat bagi pembentangan Belanjawan 2026 hari ini bukan sekadar aksesori rasmi, sebaliknya menyimpan kisah inspirasi tentang ketabahan, kelestarian dan keprihatinan terhadap golongan orang kurang upaya (OKU).

Panel tenunan pada Beg Belanjawan 2026 itu dihasilkan dengan penuh teliti oleh Anthony Liew You Chung, 37, seorang OKU dari Kuching yang bernaung di bawah Heart Treasures, sebuah perusahaan sosial yang menyediakan latihan, terapi serta peluang pekerjaan bermakna kepada golongan muda berkeperluan khas.

Menghidap autisme dan masalah pendengaran, Anthony terkenal dengan kemahiran dalam seni dan kraf tangan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertolak ke Dewan Rakyat dari Bangunan Perbendaharaan selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Fathurrahman PPAM Melinjau, Presint 11, Putrajaya pada 10 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Untuk beg bersejarah ini, beliau menggunakan sarung tangan nitril terpakai pengeluaran oleh Beyon Rubber, lalu menukarkannya menjadi panel tenunan unik yang melambangkan semangat pembaharuan dan kelestarian.

Menariknya, kain utama beg tersebut diperoleh daripada fabrik terbuang di sebuah kedai barangan terpakai di Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur.

Ia kemudiannya diproses penghasilannya dilaksanakan oleh Tanoti, perusahaan sosial berpusat di Kuching yang giat memperkasa penggiat seni kraf tempatan serta mengekalkan warisan pertukangan tangan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Fathurrahman PPAM Melinjau, Presint 11, Putrajaya pada 10 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Inisiatif itu bukan sahaja menyerlahkan komitmen kerajaan terhadap ekonomi sosial dan kelestarian alam, malah memperlihatkan usaha mengiktiraf sumbangan golongan OKU dalam pembangunan negara.

Anwar yang juga Perdana Menteri membentangkan Belanjawan MADANI Keempat di Dewan Rakyat pada jam 4 petang ini.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *