PM Anwar Bertemu PM Pakistan, Terima Kunjungan Hormat Menteri Luar Turkiye

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif pada pertemuan dua hala di luar Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi. Foto Facebook Mian Shehbaz Sharif
RIYADH, 29 Apr – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya dari Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif di luar mesyuarat khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di sini hari ini.
Pertemuan hampir setengah jam itu menyaksikan kedua-dua pemimpin menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan Putrajaya-Islamabad sekali gus melonjakkan lagi perdagangan dua hala ke peringkat lebih tinggi.
Perbincangan juga tertumpu kepada usaha meneroka peluang pelaburan serta kerjasama baharu dalam bidang perdagangan, halal, pendidikan, pertahanan, pelancongan dan sumber manusia.

Yang turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya yang juga Timbalan Perdana Menteri Ishaq Dar serta para pegawai kedua-dua negara.
Terdahulu, Anwar turut menerima kunjungan hormat Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan juga di Riyadh hari ini.
Pada pertemuan yang berlangsung kira-kira setengah jam itu, kedua-dua pemimpin bertukar-tukar pandangan mengenai isu geopolitik semasa di Asia Barat dan kekejaman Israel di Gaza.
Turut dibincang kerjasama dua hala Malaysia dan Turkiye terutama dalam bidang pelaburan, perdagangan, pertahanan serta pendidikan.

Mesyuarat khas WEF, yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, adalah bertemakan ‘Kerjasama Global, Pertumbuhan dan Tenaga untuk Pembangunan’ serta dihadiri lebih 1,000 peserta termasuk ketua-ketua negara dan kerajaan selain pemimpin perniagaan dan industri.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
