Kerajaan Pantau Penggunaan Subsidi Petrol RON95 Setiap Bulan – MOF

Amir Hamzah berkata, data tersebut boleh divalidasi (disahkan) bersama syarikat e-hailing dan p-hailing bagi memastikan pemandu yang memohon kuota tambahan benar-benar bekerja dalam bidang berkenaan.
GEORGE TOWN, 23 Sep – Pelaksanaan subsidi petrol RON95 bermula 30 September ini akan dipantau secara teliti melalui rekod penggunaan termasuk jumlah isian harian dan bulanan setiap pengguna, kata Kementerian Kewangan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, data tersebut boleh divalidasi (disahkan) bersama syarikat e-hailing dan p-hailing bagi memastikan pemandu yang memohon kuota tambahan benar-benar bekerja dalam bidang berkenaan.
“Dengan sistem sedia ada, kita mempunyai rekod penggunaan termasuk jumlah isian harian dan bulanan.
“Data ini boleh divalidasi (disahkan) bersama syarikat e-hailing dan p-hailing untuk memastikan mereka benar-benar bekerja dalam bidang tersebut,” katanya ketika sidang akhbar ketika menghadiri Majlis Perasmian Jelajah Mega E-Invois Siri 2/2025 Peringkat Nasional di Menara Hasil Pulau Pinang di sini pada Selasa.
Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September ini di bawah program Budi MADANI RON95 (BUDI95).
Beliau berkata, langkah itu hanya melibatkan rakyat Malaysia dengan bukan warganegara perlu membayar pada harga RM2.60 seliter selepas tarikh berkenaan.
Bagaimanapun jelas Anwar, bagi pemandu e-hailing, mereka dikecualikan daripada had terbabit serta boleh memohon untuk had lebih tinggi.
Amir Hamzah turut menjelaskan, kerajaan juga akan memperkenalkan beberapa mekanisme tambahan termasuk tidak membenarkan pengisian terlalu kerap dalam sehari.
“Kita ada beberapa mekanisme yang akan diperkenalkan.
“Perincian lanjut akan diumumkan sebelum pelaksanaan bermula antara 27 hingga 30 September ini,” ujarnya.
Beliau dipercayai mengulas komen bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memberi peringatan kononnya pelaksanaan subsidi petrol bersasar melalui BUDI95 masih terdedah kepada risiko ketirisan baharu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



