PM Anwar Bakal Rasmi Majlis Pecah Tanah LRT Mutiara Pulau Pinang

Projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang yang akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal memberi nafas baharu kepada mod pengangkutan negeri dalam jangka masa panjang.

GEORGE TOWN, 11 Jan – Kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pulau Pinang hari ini bakal menyaksikan satu lagi fasa penting dalam rangkaian mod pengangkutan negeri dengan perasmian pecah tanah projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang.

Majlis perasmian yang akan disempurnakan Perdana Menteri itu akan berlangsung di Tapak Projek Bandar Sri Pinang di sini pada 11 pagi ini yang turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Projek LRT itu melibatkan jajaran bermula dari Pulau Silikon hingga ke Komtar, seterusnya menyeberang ke Penang Sentral, di Seberang Perai.

Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merancakkan lagi sektor pengangkutan selain berupaya mengurangkan kesesakan di Seberang Perai dan pulau.

Pada Mac 2024, kerajaan Persekutuan secara rasmi mengambil alih projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang daripada kerajaan negeri dan keputusan itu dicapai susulan keputusan Jemaah Menteri yang meluluskan cadangan pembangunan projek berkenaan.

Kerajaan melantik MRT Corp iaitu syarikat 100 peratus milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) sebagai pemaju dan pemilik aset dengan pelaksanaan projek dibuat secara tender terbuka.

Sebelum ini, Chow menyifatkan pelaksanaan projek LRT Laluan Mutiara sebagai langkah permulaan dalam menyediakan rangkaian mod pengangkutan lebih efisien kepada penduduk negeri itu sekali gus membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas yang disebabkan peningkatan penggunaan kenderaan persendirian.

Sebanyak 23 stesen LRT akan dibina sepanjang laluan LRT Mutiara Pulau Pinang sejauh 29 kilometer.

Selain itu, Perdana Menteri juga dijadual melawat Sekolah Menengah Persendirian Jit Sin di Bukit Mertajam sebelum merasmikan bangunan blok baharu KPJ Penang Specialist Hospital pada 2.45 petang ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan akan mengakhiri lawatan kerja di Pulau Mutiara dengan menghadiri Program Muhibbah MADANI anjuran Yayasan Muhibbah Malaysia di kawasan Majlis Bandaraya Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *