PM Anwar Bakal Rasmi AIPA GA 2025, Tarik Penyertaan 25 Negara

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN ke-46 (AIPA GA) 2025 di Kuala Lumpur pada 18 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 12 Sep – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Pengerusi ASEAN 2025 dijadual akan merasmikan majlis pembukaan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN ke-46 (AIPA GA) 2025 pada 18 September depan.

Dengan tema “Parlimen Menerajui Pembangunan Terangkum dan Mampan ASEAN”, persidangan kali ini menghimpunkan speaker dan ahli-ahli Parlimen dari 9 Parlimen anggota AIPA, tidak termasuk Myanmar.

Persidangan itu akan menjadi wadah penting membincangkan isu serantau mengenai keterangkuman sosial, kelestarian alam sekitar, keselamatan makanan, transformasi digital dan pengukuhan demokrasi.

Speaker Dewan Rakyat yang juga Presiden Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN ke-46 (AIPA GA) 2025, Tan Sri Dr Johari Abdul ketika sesi taklimat bersama media sempena AIPA GA di Bangunan Parlimen pada 12 September 2025. Foto Bernama

Sebanyak 25 negara pemerhati akan menyertai persidangan itu yang bukan sahaja menghadiri mesyuarat tetapi turut berpeluang meneroka peluang perniagaan melalui pameran yang dianjurkan sempena acara itu.

Presiden AIPA 2025 Tan Sri Dr Johari Abdul, yang juga Yang Dipertua Dewan Rakyat, berkata pameran berkenaan akan menampilkan kira-kira 70 reruai daripada syarikat besar dalam dan luar negara meliputi sektor perbankan, tenaga, penerbangan serta teknologi dron.

“Negara pemerhati bukan sahaja menyertai sesi rasmi, tetapi berpeluang berinteraksi dengan pemain industri, bertukar kad perniagaan dan meneroka kerjasama,” katanya.

Antara empat fokus utama Malaysia sempena Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN ke-46 (AIPA GA) 2025. Foto AIPA

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN di peringkat eksekutif, manakala di peringkat legislatif, Parlimen Malaysia menjadi tuan rumah kepada AIPA GA yang akan berlangsung Selasa (16 September) hingga 22 September di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Antara negara pemerhati yang mengesahkan kehadiran ialah Azerbaijan, Armenia, Australia, Bahrain, Kanada, Parlimen Eropah, Jerman, Jepun, Norway, Rusia, Pakistan, Turkiye, Ukraine, Brazil serta Sepanyol.

Turut dijangka hadir ialah Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn dan delegasi sekretariat badan serantau itu di Jakarta, Indonesia.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *