PM Anwar Akan Bentangkan Laporan Setahun Ekonomi MADANI

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan penutupan Program MADANI Rakyat Zon Selatan di UTM pada 15 hingga 17 Ogos 2024. Foto Malaysia MADANI
KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan amanat dan Laporan Setahun Ekonomi MADANI pada majlis penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Zon Selatan pada 17 Ogos ini.
Pengarah Eksekutif Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi Ahmad Jefry Aziz@Adan berkata, ia adalah acara kemuncak Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Zon Selatan yang berlangsung pada 15 hingga 17 Ogos di Dataran Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
“Fokus pada PMR kali ini adalah pada majlis penutup nanti…Perdana Menteri akan beri sedikit amanat berkaitan pencapaian Setahun Ekonomi MADANI.
“Pada masa sama, ada sesi forum yang panelnya terdiri daripada Perdana Menteri, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli,” katanya tadi.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) Kementerian Ekonomi Datuk Dr Yatimah Sarjiman dan Pengarah Eksekutif Unit Pantau MADANI Mohd Khalid Mohamed Latiff.
Ahmad Jefry berkata, pendekatan kerajaan yang telus menerusi forum itu penting supaya rakyat dapat mengetahui agenda kerajaan dalam memastikan tiada gangguan dan fakta tidak tepat oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Sementara itu, Yatimah berkata pada PMR 2024 Zon Selatan ini, reruai Kementerian Kewangan akan mengadakan advokasi tentang program berkaitan sosioekonomi secara langsung kepada rakyat.
“Kepada pengunjung yang hadir ke reruai Kementerian Kewangan, kami akan sediakan antaranya pendaftaran inisiatif pendapatan rakyat khususnya kepada golongan B40.
“Kita juga telah aturkan program bersama Menteri dan Timbalan Menteri Ekonomi antaranya sesi dialog awam ‘Ask Minister Anything’ dan orang ramai boleh hadir bertanyakan apa sahaja soalan kepada menteri,” katanya.
Mohd Khalid pula berkongsi tiga kerangka strategi berkaitan ekonomi yang telah menunjukkan pencapaian utama sejak dilancarkan oleh Perdana Menteri pada Julai tahun lepas dalam memastikan hala tuju negara ke arah lebih baik.
Beliau berkata kerangka teras utama berkenaan ekonomi itu ialah menaikkan siling, lantai dan tatakelola selain menyediakan pelbagai reruai pada program berkenaan yang akan memberi manfaat secara terus kepada rakyat seperti bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Menaikkan siling adalah untuk memperkembangkan ekonomi dengan memastikan negara mempunyai daya saing dan daya cipta yang baik serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi dengan mengadakan pelaburan asing, manakala menaikkan lantau pula merupakan fokus utama kerajaan.
“Kerangka ketiga pula kita mahu fokus kepada tatakelola baik dan mantap supaya kerajaan boleh terus menggunakan platform yang kuat untuk memacu negara ke depan,” katanya.
Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan merangkumi Johor, Negeri Sembilan dan Melaka itu dianjurkan Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Ekonomi dan kerajaan Johor.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


