MITI Bakal Bertemu Tesla 22 Ogos Ini

Tengku Zafrul menggunakan jentolak sebagai simbolik majlis pecah tanah tersebut di Sabak Bernam, hari ini. Foto Facebook SIRIM Berhad
SABAK BERNAM, 10 Ogos – Sesi pertemuan khas bakal diadakan antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Tesla Inc. (Tesla) pada 22 Ogos depan.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perjumpaan itu bertujuan mendapatkan penjelasan terperinci berhubung dakwaan pembatalan perancangan membangunkan kilang di Asia Tenggara termasuk negara ini.
Jelas beliau, ia dianggap penting bagi membolehkan pihaknya mendapat pengesahan daripada Tesla yang belum membuat kenyataan rasmi setakat ini.
“Maklumat atau dakwaan mengenai perkara itu (pembatalan kilang) kini hanya didengari daripada pihak ketiga.
“Justeru, kita akan menemui pihak pengurusan atasan Tesla dari Amerika Syarikat yang dijadualkan berlangsung di ibu pejabat MITI pada 22 Ogos ini,” katanya selepas merasmikan program Mini MITIday dan majlis pecah tanah dewan serbaguna terbuka Kampung Angkat Madani di Kampung Tebuk Mufrad, Sungai Air Tawar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Tengku Zafrul, pembatalan itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan Malaysia sebagai salah satu hab EV di rantau ini.
“Selain itu, Tesla sebelum ini juga tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang mereka di Malaysia. Sebarang kenyataan rasmi mengenai hasil pertemuan itu akan dikeluarkan kementeriannya selepas mendapat persetujuan Tesla kerana ia melibatkan isu dalaman syarikat tersebut,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

