PM Anutin, Presiden Prabowo Tiba Hadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul tiba di Lapangan Terbang TUDM Subang pada 25 Oktober 2025. Foto Bernama

SUBANG, 25 Okt – Atas komitmen tinggi kepada ASEAN, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul tiba di Malaysia malam ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, yang bermula esok hingga Selasa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Pesawat khas membawa Anutin dan delegasi mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini pada 9.24 malam dan disambut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Kehadiran Anutin juga merupakan kali pertama berada di negara ini sejak menjawat jawatan September lepas.

Presiden Prabowo Subianto mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang pada 25 Oktober 2025.

Beliau kemudian memeriksa kawalan kehormatan melibatkan dua pegawai dan 24 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai Kapten Mohd Masrur Hidayat Masri.

Terdahulu, Presiden Indonesia Prabowo Subianto tiba di pangkalan udara yang sama pada 9 malam dan turut disambut oleh Mohamed Khaled.

Prabowo turut memeriksa kawalan kehormatan membabitkan pegawai dan anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Perdana Menteri baharu Jepun, Sanae Takaichi, tiba di Malaysia menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 25 Oktober 2025. Foto Bernama

Anutin dijadual menandatangani perjanjian gencatan senjata dengan Kemboja di luar sidang kemuncak esok.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dijangka menyaksikan majlis pemeteraian itu. Trump telah membantu dalam menamatkan konflik sempadan lima hari antara Thailand dan Kemboja pada Julai.

Anutin dijangka pulang ke Bangkok sejurus selepas majlis tersebut susulan kemangkatan Bonda Ratu Thailand Ratu Sirikit Kitiyakara, 93, pada petang Jumaat.

Kepengerusian ASEAN Malaysia di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ mencerminkan komitmen untuk memupuk Komuniti ASEAN yang bersatu, berdaya tahan dan berpandangan ke hadapan.

Ini merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN sejak blok itu ditubuhkan pada 1967, selepas 2015, 2005, 1997 dan 1977.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan menghimpunkan pemimpin kesemua 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan Afrika Selatan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *