PM Anutin Beri Jaminan Hormati Keamanan Thailand-Kemboja – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 di Melaka pada 9 September 2025.
MELAKA, 9 Sep – Perdana Menteri Thailand yang baharu dilantik, Anutin Charnvirakul, menunjukkan komitmen untuk memastikan keamanan antara Thailand dan Kemboja terus terpelihara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, perkara itu disampaikan kepadanya menerusi perbualan telefon bersama Anutin awal minggu ini.
“Beliau memberi jaminan bahawa komitmennya untuk memastikan keamanan antara Kemboja dan Thailand akan terus dihormati serta dipelihara,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 di sini hari ini.

Menurut Anwar, perbincangan mereka turut menyentuh mengenai kerjasama antara negara anggota.
“Asean amat berbesar hati memberikan pengiktirafan itu sebagai sokongan terhadap usaha yang kita jalankan,” katanya.
Anutin, 58, yang juga Ketua Parti Bhumjaithai, secara rasmi mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Thailand ke-32 pada Ahad lalu, selepas menerima perkenan diraja, sekali gus membuka lembaran baharu kepimpinan politik negara itu.

Pada 28 Julai, Anwar selaku pengerusi ASEAN mempengerusikan mesyuarat khas di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, yang dihadiri Perdana Menteri Kemboja Hun Manet serta Pemangku Perdana Menteri Thailand ketika itu, Phumtham Wechayachai.
Mesyuarat selama dua jam setengah itu merupakan pertemuan bersemuka pertama mereka selepas tercetus ketegangan antara kedua-dua negara jiran pada 24 Julai.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
