PL: West Ham, Paqueta Pertimbang Saman FA

Pemain West Ham, Lucas Paqueta sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang ke atas Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) susulan dakwaan perjudian yang hampir memusnahkan kariernya. Foto Reuters

LONDON, 4 Sep – Lucas Paqueta dan West Ham sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) susulan dakwaan perjudian yang hampir memusnahkan karier bintang Brazil itu.

Pada Ogos 2023, siasatan FA menyebabkan perpindahan bernilai 80 juta pound (RM482 juta) ke Manchester City terbatal, sekali gus menafikan peluangnya beraksi bersama skuad Pep Guardiola yang menjuarai Liga Perdana Inggeris (PL) musim itu.

Namun, laporan penuh jawatankuasa tiga panel yang menolak empat tuduhan utama terhadap Paqueta mendedahkan FA memulakan kes tanpa sebarang bukti kukuh, sebaliknya hanya bergantung kepada syak wasangka pakar dalaman mereka – dakwaan yang ditolak keras oleh bekas pengendali West Ham, David Moyes dan bekas pengadil Mark Clattenburg.

Pemain West Ham, Lucas Paqueta sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang ke atas Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) susulan dakwaan perjudian yang hampir memusnahkan kariernya. Foto Reuters

Dalam laporan setebal lebih 300 muka surat itu, tuduhan ke atas Paqueta, 28, yang didakwa memberi maklumat kepada kenalan sebelum menerima empat kad kuning dalam aksi Liga Perdana pada tahun 2022 dan 2023, dirobek satu persatu.

Panel menyifatkan ketiadaan bukti kukuh sebagai “kelemahan jelas” dalam kes berkenaan.

Paqueta bagaimanapun masih didapati bersalah atas dua tuduhan gagal bekerjasama sepanjang siasatan FA, namun panel menegaskan hukuman dijangka berada pada tahap ringan, mungkin hanya denda kecil.

Antara hujah utama FA termasuk laporan badan integriti antarabangsa mengenai “pola pertaruhan luar biasa” ketika Paqueta dilayangkan kad kuning menentang Aston Villa, Leeds, Bournemouth dan Leicester.

FA mendakwa 26 daripada 253 individu yang membuat pertaruhan bernilai 47,000 pound (RM283,000) mempunyai kaitan dengan pemain itu.

Siasatan juga mendakwa Paqueta memadam mesej dalam dua telefonnya, selain bergantung kepada analisis Jack Johnson daripada Stats Perform yang menuduh tindakannya disengajakan.

Namun hujah itu dipatahkan oleh saksi pembelaan termasuk Moyes dan Clattenburg, yang menegaskan lebih mudah untuk pemain mendapat kad kuning kerana menendang bola keluar atau membantah pengadil berbanding melakukan terjahan.

Paqueta berdepan risiko digantung empat tahun sekiranya tuduhan dapat dibuktikan. Tetapi panel akhirnya menegaskan tidak ada bukti langsung mengaitkan pemain itu dengan mereka yang melakukan pertaruhan, malah mempersoalkan mengapa FA tidak mengambil kira penjelasannya sejak awal siasatan.

Walaupun FA mengesahkan tidak akan membuat rayuan, Paqueta dan West Ham kini menimbang saman jutaan pound kerana reputasi serta kewangan pemain itu terjejas.

Peguamnya, Alastair Campbell menegaskan: “Keputusan ini menunjukkan Lucas terpaksa melalui kesengsaraan hanya untuk membersihkan nama.

“Integritinya sebagai pemain dan individu tidak perlu dipersoalkan lagi. Kini dia kembali bermain dengan penuh keyakinan.”


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *