Hantaran Palsu: MCMC Rakam Keterangan Tiga Individu

Pasukan penguatkuasa MCMC menjalankan sesi rakaman keterangan terhadap seorang individu di Balai Polis Kuala Nerang, Kedah pada 3 September 2025. Foto MCMC
CYBERJAYA, 4 Sep – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakam keterangan daripada tiga individu semalam terkait menyiarkan hantaran palsu berunsur perkauman berkaitan insiden seorang wanita menaiki pentas utama ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Ipoh, baru-baru ini.
Menurut kenyataan Jabatan Komunikasi Korporat MCMC berkata, hantaran yang dibuat individu di laman Facebook dan TikTok mendakwa kononnya tindakan itu dilakukan seorang wanita berbangsa Cina.
Bagaimanapun, MCMC berkata, dakwaan itu tidak benar, sekali gus berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
“Rakaman keterangan terhadap tiga individu berkenaan dijalankan di Balai Polis Kuala Nerang, Kedah; Balai Polis Beserah, Kuantan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang.
“Sebanyak tiga unit telefon bimbit, tiga keping kad SIM dan satu kad memori disita bagi tujuan analisis forensik digital,” katanya.
MCMC berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Katanya, orang ramai diingatkan sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat sebelum membuat atau menyebarkan sebarang kandungan di media sosial.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


