PL: ‘Tunggu Ahad Ini’ – Slot

Gandingan penggempur berbisa Liverpool, Mohamed Salah dan Alexander Isak menghiasi perlawanan menentang Burnley di Turf Moor pada 14 September 2025. Foto Liverpool FC
LIVERPOOL, 12 Sep – Para penyokong The Reds diingatkan agar ‘bersabar’ menantikan penampilan sulung penyerang baharu, Alexander Isak yang dijangka diturunkan secara berperingkat dalam aksi Liga Perdana Inggeris (PL) menentang Burnley hujung minggu ini, kata bos Arne Slot yang menang Pengurus Terbaik bagi bulan Ogos hari ini.
Isak, 25, melengkapkan perpindahan bernilai £125 juta (AS$169 juta) dari Newcastle United pada hari terakhir jendela perpindahan, sekali gus menamatkan spekulasi panjang yang berlarutan sepanjang musim panas.
Kemelut yang melanda Isak ketika itu memaksa bos The Magpies, Eddie Howe mengetepikannya dan tidak beraksi dalam kesemua tiga perlawanan awal musim ini.

Setakat ini, bintang Sweden itu hanya beraksi 18 minit musim ini ketika dimasukkan sebagai pemain gantian dalam kekalahan 0-2 skuad kebangsaan menentang Kosovo, Isnin lalu.
Slot dalam nada positif memuji langkah jurulatih Sweden, Jon Dahl Tomasson yang menggunakan Isak secara berhati-hati, sambil menegaskan Liverpool turut akan menguruskan minit permainan penyerang baharu itu dengan teliti.
Selain itu, Liverpool hampir mendapatkan khidmat pertahanan England, Marc Guehi dari Crystal Palace pada hari terakhir jendela perpindahan, namun urusan tersebut gagal dimuktamadkan.

Liverpool kini berada di puncak carta PL dengan sembilan mata maksimum selepas meraih tiga kemenangan daripada tiga perlawanan ke atas Bournemouth, Newcastle dan pencabar kejuaraan Arsenal.
Dengan kemasukan Isak, gempuran The Reds dilihat lebih berbisa dengan gandingan Mohamed Salah, Hugo Ekitike, Cody Gakpo dan bintang muda Rio Ngumoha di Turf Moor selain dibantu Dominick Szobozslai yang cemerlang ketika menewaskan Arsenal 1-0 di Anfield dua minggu lalu.
Jaringan bintang Hungary itu juga menjadi gol terbaik PL bagi bulan Ogos yang diumumkan hari ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
