PL: Slot Lega Liverpool Tamatkan Badi Kekalahan

Mohamed Salah kini telah menjaringkan 250 gol untuk The Reds, menjadikannya pemain ketiga terbanyak dalam sejarah kelab selepas Ian Rush dan Roger Hunt. Foto Liverpool FC
LIVERPOOL, 2 Nov – Arne Slot akhirnya lega setelah Liverpool menamatkan badi empat kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (PL) apabila berjaya menewaskan Aston Villa 2-0 di Anfield, pagi tadi.
Mohamed Salah mengambil kesempatan daripada kesilapan Emiliano Martinez untuk membuka jaringan, sebelum rembatan deflektif Ryan Gravenberch memastikan kemenangan yang lama dinantikan dan membawa juara bertahan itu naik ke tangga ketiga carta liga.
Keputusan pengendali The Reds itu yang melakukan rombakan besar selepas kekalahan 0-3 kepada Crystal Palace dalam saingan Piala Liga Rabu lalu, pada awalnya dilihat hanya menambah tekanan kepada pasukan selepas enam kekalahan dalam tujuh perlawanan di semua kejohanan.

Malah, Liverpool yang dibolosi dalam 15 minit pertama pada setiap kekalahan liga sebelum ini hampir mengulanginya apabila Morgan Rogers melepaskan rembatan yang terkena tiang dari luar kotak penalti.
Giorgi Mamardashvili, yang menggantikan Alisson Becker yang masih cedera, mempamerkan aksi cemerlang apabila menepis rembatan deras Matty Cash dalam satu situasi berbahaya.
Hugo Ekitike pula sempat menanduk bola ke dalam gawang, namun keputusan VAR mendapati pemain Perancis itu berada dalam kedudukan ofsaid.
Villa gagal mengambil iktibar daripada amaran tersebut apabila kesilapan Martinez pada minit ke-46 memberi ruang kepada Salah menolak masuk bola ke gawang yang kosong.
Penyerang Mesir itu kini telah menjaringkan 250 gol untuk The Reds, menjadikannya pemain ketiga terbanyak dalam sejarah kelab selepas Ian Rush dan Roger Hunt.
Skuad kendalian Unai Emery terus gagal menyaingi intensiti permainan Liverpool selepas rehat, sebelum gol kedua terhasil pada minit ke-58 apabila Gravenberch menyudahkan hantaran Alexis Mac Allister dengan rembatan yang terkena Pau Torres dan menerjah gawang.
Liverpool kini mengalihkan tumpuan kepada saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila bakal menerima kunjungan Real Madrid pada Selasa ini, sebelum bertandang ke Manchester City hujung minggu hadapan. – AFP
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

