Bersatu Di Ambang Kehancuran Mudahkan UMNO Hadapi PRU16

Kemelut politik tidak pernah reda menandakan Muhyiddin Yassin tidak lagi mampu menerajui Bersatu bukan sahaja PRU 16 malah PRUN DUN Sabah.
PENDAPAT, 2 Nov – Bahtera BERSATU kembali bergolak selepas sebulan tercetusnya kekecohan terbuka pada Perhimpunan Agung Tahunan kelapan parti itu pada September lalu yang mendesak Muhyiddin Yassin berundur sebagai Presiden.
Pergolakan berlaku susulan penggantungan dan pemecatan dua ahli Parlimennya, iaitu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) dan Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor) serta beberapa ketua bahagian diumumkan Lembaga Disiplin pada 14 Oktober lalu.
Dua lagi pemimpin tertinggi iaitu Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Khaliq Mehtab Ishaq turut menerima nasib sama apabila turut disingkirkan daripada jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Tidak cukup dengan tindakan itu, Setiausaha Agung, Mohamed Azmin Ali mengeluarkan arahan rasmi melarang mana-mana ahli dan pemimpin untuk terbabit dengan penganjuran, perjumpaan atau perbincangan dengan individu dijatuhkan hukuman oleh Lembaga Disiplin.
Pergolakan semakin meruncing dalam BERSATU hari ini disebabkan tiga faktor utama. Pertama, Mohamed Azmin terlalu ‘diberi muka’ dan ruang besar dalam parti sehingga terdapat pemimpin kanan menggelar beliau sebagai ‘anak emas’ Muhyiddin.
Bibit awal BERSATU mula membuka ruang kepada Mohamed Azmin ialah apabila beliau bersama 10 bekas Ahli Parlimen KEADILAN menyokong Muhyiddin untuk memperoleh majoriti mudah bagi membentuk Kerajaan Persekutuan pada 2020 dan dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

Susulan itu, Muhyiddin dipercayai terhutang budi kepada Mohamed Azmin sehingga beliau dilantik sebagai salah seorang pemimpin berkuasa dalam parti sebagai Setiausaha Agung.
Penyertaan Mohamed Azmin ke dalam BERSATU pada peringkat awalnya dijangka mampu menguatkan parti, namun masih tetap mencetuskan kontroversi apabila budaya ‘bergaduh’ dalam parti lama masih dibawa beliau bersama hulubalangnya.
Hari ini, Mohamed Azmin bersama pengikutnya mengulangi perbuatan sama bercakaran dengan pemimpin lain dalam BERSATU selepas melakukan perkara sama dalam KEADILAN.
Kedua, berlaku persaingan menyekat kemaraan antara kem Timbalan Presiden, Hamzah Zainuddin dengan Mohamed Azmin untuk menguasai parti.
Bagi kem Hamzah, mereka percaya Mohamed Azmin bercita-cita menjadi Presiden selepas Muhyiddin, sekali gus menghalang Hamzah daripada menduduki jawatan berkenaan.
Kem Mohamed Azmin pula bergelut meyakinkan Muhyiddin untuk kekal sebagai Presiden bagi mengelakkan Hamzah menjadi Presiden dalam tempoh terdekat.
Mohamed Azmin dan pengikutnya bimbang mereka akan disingkirkan dan Hamzah akan melemahkan pengaruh kem mereka sekiranya beliau berjaya menjadi Presiden.
Oleh itu, pelbagai usaha dan tindakan dikenakan pemimpin berkuasa dalam parti, khususnya daripada kem Setiausaha Agung terhadap lawan mereka yang terus-menerus menyerang Muhyiddin dan Mohamed Azmin.
Namun, Muhyiddin sehingga hari ini masih berdiam diri. Sikap Muhyiddin ini boleh meruntuhkan parti dan memusnahkan keyakinan ahli serta orang Melayu menyokong parti itu.
Muhyiddin berdepan defisit keyakinan
Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), BERSATU berjaya meluaskan pengaruhnya di Perlis, Kedah, Seberang Perai, Pulau Pinang, utara dan selatan Selangor, Kelantan dan Terengganu sehingga memenangi 30 kerusi Parlimen.
Sokongan melonjak diterima BERSATU itu berpunca daripada tercetusnya ‘gelombang hijau’ membadai kawasan mempunyai populasi pengundi Melayu tinggi.
Muhyiddin juga sedang berhadapan dengan defisit keyakinan dalam kalangan ahli dan pemimpin parti semakin serius. Semenjak 2022, rakyat disajikan dengan pelbagai berita kemelut parti yang gagal ditangani antaranya pembubaran bahagian BERSATU seperti di Ranau, Jeli dan Tenggara.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama wakil rakyat dan pemimpin parti di Sabah meninggalkan BERSATU dan menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan enam Ahli Parlimen BERSATU mengalih sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.
Kemelut politik tidak pernah reda melanda BERSATU ini sebenarnya menandakan Muhyiddin tidak lagi mampu menerajui dan wujudnya penolakan kuat terhadap kepemimpinan beliau.
Muhyiddin sedar awal gerakan mendesak beliau melepaskan jawatan Presiden. Maka tidak hairanlah beliau mengumumkan pengunduran sebagai Presiden ketika Perhimpunan Agung Bersatu pada 2023.
Namun Muhyiddin menarik balik keputusan itu sehari selepas itu, mengundang kemarahan pasukan bercita-cita dan bersiap sedia menggantikan Ahli Parlimen Pagoh itu sekali gus mencetuskan pergolakan berterusan semakin meruncing hingga hari ini.
BERSATU hari ini di ambang kehancuran, berpunca daripada tangan pemimpin dalam parti itu yang terlalu rakus mengejar jawatan dan kuasa sehingga lupa janji awal untuk menjadi parti pelindung baharu orang Melayu menggantikan UMNO.
Cita-cita itu kini hanya tinggal kenangan dan pemimpin UMNO tidak perlu berkerja keras lagi untuk menghadapi siri pilihan raya negeri (PRN) dan PRU16 akan datang kerana pesaing mereka semakin hancur sebelum ke medan perang.

Tidak mengejutkan jika BERSATU akan hilang daripada radar politik negara dalam tempoh terdekat dan mengalami nasib sama sebagaimana parti Melayu lain sebelum ini jika pemimpinnya tidak menghentikan perbalahan serta-merta.
Justeru, pemimpin BERSATU hari ini tidak layak mendabik dada sebagai parti terkuat dalam kalangan orang Melayu kerana mereka sendiri dalam keadaan berpecah.
– Oleh Dr Mohammad Tawfik Yaakub
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web





