PL: Postecoglou Makin Goyah Bersama Forest

Reece James meraikan jaringannya ketika Chelsea membenam Nottingham Forest 3-0 pada 18 Oktober 2025. Foto Reuters

NOTTINGHAM, 18 Okt – Dua jaringan pantas Josh Acheampong dan Pedro Neto membuatkan Ange Postecoglou terus tertekan setelah terpaksa akur tewas 0-3 di tangan Chelsea pada aksi Liga Perdana Inggeris di City Ground, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan Chelsea melonjak ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris (PL).

Bos Nottingham Forest itu masih gagal mencatat sebarang kemenangan sejak mengambil alih Forest, dan kekalahan keempat berturut-turut itu dijangka menambah tekanan terhadap bekas pengendali Tottenham itu, dengan Sean Dyche antara nama yang dikaitkan untuk menggantikannya.

Josh-Kofi Acheampong meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika menentang Nottingham Forest pada 18 Oktober 2025. Foto AFP

Forest terlebih dahulu memiliki beberapa peluang menarik pada babak pertama namun gagal dimanfaatkan, sebelum dihukum selepas rehat.

Pemain muda berusia 19 tahun, Acheampong, tidak dikawal untuk menjaringkan gol pertamanya bersama Chelsea hasil hantaran Neto.

Hanya beberapa minit kemudian, Neto menggandakan kedudukan menerusi sepakan percuma deras yang menembusi benteng lawan sebelum Reece James menambah jaringan ketiga di penghujung permainan.

Kekecewaan penyokong tuan rumah semakin memuncak apabila laungan ‘anda dipecat esok pagi kedengaran, manakala pemilik kelab, Evangelos Marinakis, dilihat meninggalkan tempat duduknya pada minit ke-66.

Pemain Chelsea, Malo Gusto (kiri) dan pemain Nottingham Forest, Oleksandr Zinchenko berebut bola pada aksi Liga Perdana Inggeris pada 18 Oktober 2025. Foto Reuters

Chelsea meneruskan rekod mengutip kad merah apabila giliran Malo Gusto dilayangkan kad merah pada perlawanan kali ini.

Postecoglou kini berdepan tugasan getir untuk menyelamatkan kedudukannya menjelang aksi Liga Europa menentang Porto, Khamis ini. – AGENSI

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *