PL: Pemandu Lori Sahkan Kereta Mendiang Jota Tidak Dipandu Laju

Imej dron menunjukkan lokasi kemalangan yang meragut nyawa Diogo Jota dan adiknya Andre yang didakwa tidak dipandu laju. Foto Reuters
ZAMORA, 10 Jul – Seorang pemandu lori yang mendakwa dia melihat kereta Lamborghini dipandu Diogo Jota terbakar berkata, kenderaan itu bukan sedang memecut sebelum kemalangan.
Jota dan adiknya, Andre Silva terkorban dalam kemalangan itu dengan laporan awal mengatakan kenderaan berkenaan sedang memecut sebelum terbabas.
Pasukan forensik mendapati kesan tayar yang kemungkinan meletup ketika kejadian, dan masih mengkaji sama ada kelajuan melampau menyebabkan kemalangan itu.

Jose Azevedo dalam satu rakaman video dari lorinya menjelaskan, kenderaan dipandu Jota tidak melebihi had laju ketika insiden berlaku.
“Saya merakamnya, berhenti, cuba membantu, tetapi malangnya tidak mampu berbuat apa-apa.
“Saya tahu apa yang saya lalui malam itu kerana saya tidak tahu siapa di dalamnya. Takziah buat keluarga mangsa.
“Saya pasti, mereka tidak memecut. Saya dapat lihat jelas jenis kenderaan dan warnanya. Saya memandu di jalan ini setiap hari, Isnini hingga Sabtu, saya kenal jalan ini.
“Ia jalan gelap, dan saya dapat lihat buatan serta warna kereta, jelas sekali. Malangnya ia berakhir tragis,” kata Azevedo.
Jota, 28, memandu ditemani adiknya, Silva, 25, apabila salah satu tayar kereta Lamborghini Huracan berkenaan dikatakan meletup ketika cuba memotong.
Adik-beradik itu dalam perjalanan ke Santander, Sepanyol untuk menaiki feri ke United Kingdom selepas pemain Liverpool dan Portugal itu dinasihatkan tidak menaiki kapal terbang susulan pembedahan paru-paru. – AGENSI
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
