PL: Mampukah Amorim ‘Tahan’ Asakan Guardiola?

Kecederaan William Saliba disahkan tidak serius dan akan beraksi menentang Manchester City pada 21 September 2025. Foto Reuters

MANCHESTER, 13 Sep – Ruben Amorim yakin Manchester United akan bangkit menentang Manchester City yang sedang melalui fasa peralihan pada pertembungan antara dua musuh berjiran malam esok, ketika kedua-duanya memulakan Liga Perdana Inggeris (PL) dengan prestasi mengecewakan.

Salah satu daripada hanya lapan kemenangan Amorim dalam 30 perlawanan liga sejak mengambil alih Red Devils hadir di Etihad musim lalu apabila dua gol lewat mencetus kemenangan 2-1 pada Disember.

Kekalahan itu menyusul ketika City meraih satu kemenangan dalam 13 perlawanan selepas empat gelaran PL berturut-turut dan skuad kendalian Pep Guardiola mula mempamerkan prestasi tidak menentu musim lalu.

Keputusan antara Manchester City dan Manchester United bakal memberi jawapan paling jelas sama ada Amorim akan kekal atau terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat Old Trafford. Foto AFP

Namun harapan menerusi rombakan besar-besaran dalam skuad Guardiola akan mengembalikan kegemilangan mereka setakat ini terbukti palsu.

Selepas kemenangan meyakinkan 4-0 di Wolves pada minggu pembukaan, City tewas kepada Tottenham dan Brighton.

Buat kali pertama dalam tempoh lima tahun, United berdepan seteru sebandar mereka dengan kedudukan lebih baik dalam liga, walaupun perbezaan hanya satu mata.

Terdapat tanda positif buat Amorim ketika menang dramatik 3-2 ke atas Burnley, seri 1-1 di Fulham dan kekalahan tipis 0-1 kepada Arsenal yang memburu gelaran.

Penyerang Arsenal, Viktor Gyokeres meraikan gol pasukannya dengan gaya tersendiri ketika menentang Leeds United pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, London pada 23 Ogos 2025. Foto Reuters

Namun keyakinan permulaan baharu di Old Trafford selepas menamatkan musim lalu di tangga ke-15 terhakis dengan kekalahan memalukan dalam Piala Liga kepada Grimsby – kali pertama dalam sejarah kelab United tewas kepada pasukan divisyen keempat.

Selepas menerima sokongan melalui rombakan serangan bernilai £200 juta (RM1.14 bilion), Amorim kini berada di bawah tekanan untuk memberikan keputusan yang baik dengan segera.

Bagaimanapun, beberapa keputusan terbaiknya sejak mengambil alih pada November hadir menentang lawan lebih sukar.

United seri 2-2 menentang juara dan pendahulu liga, Liverpool di Anfield dan menyingkirkan Arsenal daripada Piala FA di gelanggang lawan musim lalu.

“Perincian kecil yang kadang-kadang kami abaikan, tidak berlaku dalam perlawanan ini,” kata Amorim.

Skuad Guardiola sekurang-kurangnya dirangsang dengan kehadiran penjaring terbanyak, Erling Haaland pada sesi latihan, semalam selepas mengalami kecederaan ketika mereka menewaskan Newcastle 4-0.

“Saya lebih selesa dalam perlawanan ini tetapi kami akan bersedia menentang pasukan yang amat, amat bagus.

“Saya rasa kami adalah pasukan yang lebih baik (daripada Disember). Jika anda lihat dari mana-mana aspek, data menunjukkan kami pasukan yang berbeza. Kami bersedia untuk bermain tetapi perlu tunjukkan pada hari Ahad.”

Sementara itu, Guardiola masih bergelut membina pasukan yang mampu menandingi pencapaian juara berturut-turut beberapa musim lalu.

Pemenang Ballon d’Or, Rodri mengecam “kesilapan budak sekolah” pasukannya sesudah mensia-siakan kelebihan sebelum tewas di Brighton pada perlawanan terakhir mereka.

City sedang menghadapi fasa penyesuaian selepas perubahan besar di Etihad.

Lima pemain utama yang memulakan final Liga Juara-Juara 2023 meninggalkan kelab pada musim panas ini, termasuk legenda kelab Kevin De Bruyne.

Kejuaraan Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris (PL) musim lalu menjadi pendorong utama melakar kejuaraan UCL musim ini. Foto Reuters

Lebih £300 juta (RM1.71 bilion) dibelanjakan dalam dua jendela perpindahan terakhir untuk membawa masuk pemain muda, tetapi kejayaan masih sedikit.

Skuad yang memulakan kekalahan 0-2 kepada Tottenham bulan lalu adalah yang termuda dipilih Guardiola dalam PL dengan purata umur 24.5 tahun.

Oleh itu, tidak sukar difahami jika Guardiola mengharapkan pengalaman penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma untuk menggantikan Ederson, walaupun gaya permainan mereka amat berbeza.

Donnarumma dengan ketinggian 1.96 meter, pakar menyelamatkan gol tetapi tidak mempunyai kemampuan hantaran jauh dari belakang seperti Ederson.

Bintang sensasi Liverpool Mohamed Salah diumum Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Profesional (PFA) 2025 di Manchester pada 19 Ogos 2025. Foto Liverpool FC

“Saya tidak akan minta Gigi buat sesuatu yang dia tidak selesa.

“Dia amat tinggi, begitu besar. Semua penjaga gol yang menyelamatkan percubaan membawa personaliti kepada pasukan dan menjadi kehadiran besar dan dia sudah lakukannya dalam perlawanan besar,” kata Guardiola.

Donnarumma dijangka membuat penampilan sulung bersama City, tetapi penjaga gol baharu United, Senne Lammens perlu menunggu peluangnya selepas Amorim mengesahkan Altay Bayindir yang sering dikritik akan mengekalkan tempatnya. – AFP

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *