PL: Liverpool Uji Rekod ‘Kebal’ Palace Malam Esok

Alexander Isak cemerlang dalam aksi pusingan ketiga Piala Liga Inggeris ketika menewaskan Southampton 2-1 di Anfield pada 22 September 2025. Foto Liverpool FC

LONDON, 26 Sep – Liverpool yang masih ‘kebal’ dalam misi mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (PL) setakat ini, bakal berdepan ujian getir apabila bertandang ke Crystal Palace yang juga belum tewas musim ini, malam esok.

Manakala Arsenal pula tidak mahu ulangi mimpi ngeri menentang Newcastle, ketika pengendali Manchester United, Ruben Amorim amat terdesak untuk mencipta rentak kemenangan.

Skuad The Reds bermula cemerlang dengan tujuh kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan, selain lima kemenangan liga yang meletakkan mereka lima mata di depan pencabar terdekat, Arsenal.

Pemain Liverpool Dominik Szobozslai meraikan jaringan cantik minit ke-83 yang menghampakan Arsenal ketika aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, Liverpool pada 31 Ogos 2025. Foto Liverpool FC

Namun, Palace kendalian Oliver Glasner juga berada di prestasi tinggi apabila menghuni tangga kelima. Juara Piala FA itu satu-satunya pasukan lain selain Liverpool yang belum tewas, malah pernah menumbangkan anak buah Arne Slot menerusi penentuan penalti di Perisai Komuniti Ogos lalu.

Malah, Palace turut mengikat Liverpool 1-1 di Anfield pada aksi terakhir musim lalu, sebahagian daripada rekod tanpa kalah 16 perlawanan sejak April.

Tanpa Hugo Ekitike yang digantung, penyerang rekod Britain, Alexander Isak dijangka mengetuai serangan Liverpool selepas meledak gol sulung ketika menewaskan Southampton dalam Piala Liga, pertengahan minggu ini.

Pemain Liverpool, Ryan Gravenberch menjaringkan gol ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Everton di Anfield, Liverpool pada 20 September 2025. Foto Reuters

Isak bakal mendapat kawalan rapi pertahanan England, Marc Guehi yang hampir menyertai Liverpool sebelum perpindahan itu gagal dimuktamadkan pada hari terakhir jendela perpindahan.

Arsenal pula yang menamatkan musim lalu di tangga kedua untuk tahun ketiga berturut-turut, kini sudah ketinggalan selepas tewas kepada Liverpool dan sekadar seri dengan Manchester City.

Skuad kendalian Mikel Arteta masih menunggu kejuaraan domestik pertama sejak 2004 dan tanpa piala sejak 2020. Namun, reputasi mereka sebagai pasukan yang mudah goyah apabila tekanan memuncak terus menghantui.

Pemain Liverpool meriakan Mohamed Salah yang menjaringkan gol penalti pada minit ke-95 menewaskan Burnley 1-0 di Turf Moor pada 14 September 2025. Foto Liverpool FC

Perlawanan menentang Newcastle bakal menguji ketahanan mental Gunners yang tewas dalam tiga kunjungan terakhir ke St James’ Park, termasuk kekalahan di separuh akhir Piala Liga musim lalu.

Newcastle yang menang empat daripada enam pertemuan terakhir menentang Arsenal, juga tampil dengan motivasi besar selepas hanya mengutip enam mata daripada lima aksi pertama musim ini.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *