PL: Lepas Dimalukan Liverpool, Arsenal ‘Lepas Geram’ Belasah Forest

Pemain Arsenal meraikan jaringan ketika menewaskan Nottingham Forest 3-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, London pada 13 September 2025. Foto Arsenal

LONDON, 13 Sep – Selepas dikecewakan penyandang juara, Liverpool di Anfield dua minggu lalu, Arsenal kembali menemui rentak kemenangan apabila membenam cabaran Nottingham Forest 3-0 pada aksi minggu keempat Liga Perdana Inggeris (PL) di Stadium Emirates di sini sebentar tadi.

Martin Zubimendi muncul wira Arsenal apabila meledak dua gol, sekali gus menjejaskan penampilan sulung Ange Postecoglou sebagai pengendali baharu pasukan pelawat.

Gol pertama Zubimendi pada minit ke-32 hadir menerusi voli deras – juga jaringan sulungnya buat The Gunners – selepas tuan rumah mendominasi babak awal perlawanan.

Pemain Arsenal, Martin Zubimendi meraikan jaringan ketika menewaskan Nottingham Forest 3-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, London pada 13 September 2025. Foto Arsenal

Namun kegembiraan Arsenal sedikit tercalar apabila kapten Martin Odegaard terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan bahu kanan.

Sebaik babak kedua bermula, Arsenal pantas menambah jaringan. Eberechi Eze memanfaatkan kesilapan pertahanan gantian, Nicolo Savona, sebelum melorongkan bola mudah untuk disudahkan Viktor Gyokeres bagi gol ketiganya musim ini.

Ketika perlawanan dilihat kian hambar, Zubimendi sekali lagi mencuri tumpuan dengan tandukan pada minit ke-79 hasil hantaran Leandro Trossard, menoktahkan kemenangan bergaya buat pasukan bimbingan Mikel Arteta.

Pemain Arsenal, Martin Zubimendi menjaringkan gol ketika menewaskan Nottingham Forest 3-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, London pada 13 September 2025. Foto Arsenal

Sorakan penyokong Arsenal kedengaran menyindir Postecoglou, bekas pengurus Tottenham Hotspur, yang menyaksikan pasukannya gagal memberi saingan pada penampilan sulungnya bersama Forest.

Kemenangan tersebut meletakkan The Gunners memimpin carta mengatasi Liverpool namun keputusan bakal berubah apabila The Reds bertandang ke Turf Moor bagi aksi menentang Burnley malam esok.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *