Op Pasir: Kes Babit Anggota Tentera Lemas Masih Disiasat

Allahyarham Muhammad Irfan Haiqal Abdullah, 20, disolatkan anggota tentera ketika sedang bertugas di Pos Gabungan PDRM-ATM di Pulau Mataking, Semporna pada 13 September 2025.

SEMPORNA, 13 Sep – Operasi mencari dan menyelamat anggota tentera yang hilang masih diteruskan manakala punca kejadian yang mengorbankan seorang anggota tentera ketika melaksanakan Operasi PASIR di Pulau Mataking, di sini, semalam, masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Komander Angkatan Tugas Bersama 2, Brigedier Jeneral Abd Munir Abd Rani berkata, berdasarkan maklumat awal, insiden dipercayai berpunca daripada kejadian lemas, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan punca sebenar kejadian.

“Usaha mencari anggota yang masih hilang sedang giat dijalankan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan dalam kejadian jam 6 petang itu, dua anggota daripada Kompeni C, Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) dilaporkan tidak hadir ketika pemeriksaan rutin kehadiran dilakukan.

Berikutan itu pencarian segera digerakkan di lokasi termasuk bantuan bot dari resort berhampiran sebelum salah seorang anggota ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan pantai pulau berkenaan pada jam 7.25 malam.

Prebet Muhammad Irfan Haiqal Abdullah, 20, disahkan meninggal dunia manakala Prebet Muhammad Zulkarnain Jaffar, 27, masih belum ditemui sehingga kini.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *