PL: ‘Kami Perlukan Satu Lagi Kejuaraan’ – Salah

Pemain Liverpool, Mohamed Salah (kiri) melarikan bola melepasi pemain Manchester City, Omar Marmoush pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, Manchester. Foto Reuters

MANCHESTER, 24 Feb – Mohamed Salah berkata pemain veteran Liverpool memerlukan satu lagi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (PL) selepas mencetus inspirasi kemenangan 2-0 di Manchester City sekali gus melonjak 11 mata di depan di puncak carta liga.

Salah menjadi senjata kemenangan bermakna buat The Reds apabila dia membuka tirai jaringan sebelum mengumpan kepada Dominik Szoboszlai untuk menggandakan pendahuluan Liverpool sebelum rehat.

Anak buah Arne Slot berada dalam kedudukan terbaik untuk menyamai rekod 20 kejuaraan liga utama Inggeris, sekalipun pasukan tangga kedua Arsenal beraksi kurang satu perlawanan.

Pemain Liverpool, Mohamed Salah berjabat tangan dengan pengurus Arne Slot ketika dikeluarkan menentang Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, Manchester. Foto Reuters

City, yang menang empat kejuaraan terakhir PL, kini ketinggalan 20 mata di belakang pendahulu di tangga keempat.

“Ia luar biasa. Ia satu tempat yang amat sukar untuk hadir dan beraksi di sini,” kata Salah selepas kemenangan pertama Liverpool dalam liga di Etihad bagi tempoh sedekad.

“Mereka pasukan yang bagus dan mempunyai seorang pengurus luar biasa jadi saya bangga akhirnya kami menang. Ia istimewa. Terutamanya apabila anda berada dalam perebutan kejuaraan, ia luar biasa.

“Harapnya kami boleh bertenang kerana kadang-kadang tekanan boleh membunuh kami.”

Pemain Liverpool, Dominik Szoboszlai (kanan) meraikan gol kedua bersama Mohamed Salah ketika menentang Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, Manchester. Foto Reuters

Salah mengumpul 30 gol dan 21 umpanan gol dalam musim yang cemerlang buatnya dan berkata dia menikmati bola sepak lebih di sebalik spekulasi mengenai masa depannya.

Pemain berusia 32 tahun itu, kapten Virgil van Dijk, Alisson Becker, Trent Alexander-Arnold dan Andy Robertson sebahagian daripada pasukan Liverpool yang menamatkan penantian 30 tahun memenangi kejuaraan pada tahun 2020.

Salah mengulangi keyakinannya mereka memerlukan satu lagi pingat pemenang PL untuk membakar legasi mereka.

“Mungkin orang lebih suka musim pertama saya atau kini tetapi saya lebih suka sekarang kerana memenangi liga, membantu pemain muda, ia istimewa,” katanya.

“Kami perlukan satu lagi kejuaraan. Saya dan pemain berpengalaman dalam pasukan, kami perlukan satu lagi kejuaraan.” – AFP


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *