PL: Guardiola Enggan Kibar ‘Bendera Covid’

Guardiola menegaskan City masih enggan mengibar ‘bendera Covid’ (bendera minta bantuan makanan ketika era pandemik Covid-19) biarpun 9 mata di belakang Arsenal pada 14 Mac 2026.
LONDON, 14 Mac – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menegaskan perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (PL) masih belum berakhir walaupun pasukannya kini ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu, Arsenal.
City tercicir mata selepas sekadar seri 1-1 dengan West Ham United di Stadium London, awal pagi tadi.
Skuad kendalian Guardiola terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan Bernardo Silva pada babak pertama sebelum Konstantinos Mavropanos menyamakan kedudukan mewakili West Ham sebelum rehat.

Keputusan itu hadir hanya beberapa jam selepas Arsenal menjaringkan dua gol lewat permainan untuk menewaskan Everton 2-0.
Walaupun menghuni tangga kedua liga dan masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan, ramai pemerhati mula meragui peluang City untuk merampas kejuaraan daripada Liverpool dengan hanya lapan perlawanan berbaki.
Namun Guardiola menegaskan pasukannya tidak akan berputus asa.
“Ia belum berakhir. Siapa kata sudah tamat? Kami tidak kalah dan kami akan terus berjuang,” katanya.
“Jurang sembilan mata dengan Arsenal memang besar, tetapi kami masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan dan akan menentang mereka di laman sendiri. Kami perlu terus mencuba sehingga ke penghujung musim.”
City sebelum ini pernah menjuarai liga walaupun ketinggalan sembilan mata selepas 30 perlawanan ketika musim 2013-14.
Bagaimanapun, prestasi semasa City tidak begitu meyakinkan apabila mereka sekadar mencatat keputusan seri dalam dua perlawanan liga terakhir menentang West Ham dan Nottingham Forest.
City juga tewas 0-3 kepada Real Madrid pada aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu.

Mereka akan melayan kunjungan Real pada aksi timbal balik minggu depan sebelum berdepan Arsenal dalam final Piala Liga dan menentang Liverpool pada suku akhir Piala FA.
Guardiola turut mengakui kegagalan memanfaatkan peluang menjadi punca utama prestasi tidak menentu pasukannya musim ini.
“Kami tidak menjaringkan gol secukupnya walaupun mencipta banyak peluang. Dalam beberapa musim lalu kami sangat konsisten, tetapi musim ini kami bergelut.
“Untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris, anda perlu konsisten dan lebih tajam di bahagian serangan,” katanya.
Penyerang utama City, Erling Haaland juga masih bergelut apabila hanya menjaringkan tiga gol dalam 12 perlawanan liga terakhir. – AFP
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

