PL: Gol ‘Penalti’ Fernandes Selamatkan Maruah United

Bruno Fernandes menjaringkan ‘penalti’ minit ke-97 yang menyelamatkan maruah United di Old Trafford pada 30 Ogos 2025. Foto Manchester United

MANCHESTER, 30 Ogos – Setelah mengalami ‘kemarau’ dalam dua perlawanan awal, Manchester United akhirnya mencetak kemenangan pertama musim ini namun terpaksa berhempas-pulas menewaskan Burnley 3-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (PL) di Old Trafford sebentar tadi.

Pada perlawanan itu, United yang masih segar dengan kekalahan memalukan kepada Grimbsy Town 11-12 dalam aksi Piala EFL awal minggu ini membariskan kesebelasan terbaik dengan Bruno Fernandes, Bryan Mbeumo dan Matheus Cunha memacu jentera serangan.

Skuad kendalian Ruben Amorim itu mendapat tuah apabila meraih gol hasil jaringan sendiri yang dilakukan oleh pertahanan Burnley, Josh Cullen pada minit ke-27.

Namun, momentum The Red Devils direntap selepas Cunha terpaksa dikeluarkan berselang tiga minit kemudian selepas mengalami kecederaan serius dan diganti dengan Joshua Zirkzee.

Bersambung pada babak kedua, giliran Burnley mengejutkan tuan rumah apabila Lyle Foster meledak gol penyamaan pada minit ke-55 selepas menerima hantaran Bruun Larsen.

Kegembiraan Burnley hanya bertahan selama dua minit selepas Mbeumo meletakkan kedudukan 2-1 hasil ledakan tepat setelah diumpan Diogo Dalot.

Enggan menyerah terlalu awal, Burnley sekali lagi menyamakan kedudukan dengan Jaidon Anthony mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-65.

Bagaimanapun, Anthony menjadi duri dalam daging buat Burnley apabila menjatuhkan Amad Diallo dalam kotak penalti pada masa kecederaan dengan peluang itu disempurnakan oleh Bruno Fernandes, tujuh minit selepas aksi 90 minit tamat.

Keputusan 3-2 kekal hingga wisel penamat sekali gus memberi kelegaan buat Amorim selepas dikritik hebat sepanjang bulan ini.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *