PL: Frank Yakin Kekal Walau Spurs Kalah Lagi

Pemain Newcastle United, Jacob Ramsey (tengah) meraikan gol kedua pasukannya menewaskan Tottenham Hotspur 2-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Tottenham Hotspur, London pada 10 Februari 2026. Foto AFP

LONDON, 10 Feb – Thomas Frank percaya beliau masih mendapat sokongan pemilik Tottenham Hotspur walaupun sekali lagi dilaungkan supaya dipecat susulan kekalahan 1-2 kepada Newcastle United, awal pagi tadi.

Spurs merudum ke tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris (PL), hanya lima mata di atas zon penyingkiran dengan berbaki 12 perlawanan.

Mereka tidak akan beraksi lagi dalam tempoh 12 hari sebelum menerima kunjungan seteru setempat dan pendahulu liga, Arsenal bagi aksi musuh tetangga London utara.

Frank menjelaskan beliau sudah berbincang dengan pengurusan tertinggi kelab kelmarin dan tidak menjangka situasi itu berubah menjelang perlawanan besar berkenaan.

“Kami faham kami bukan berada di kedudukan terbaik dan perlu lakukan segala-galanya untuk keluar daripada situasi ini,” kata bekas pengurus Brentford itu.

“Saya faham kekecewaan penyokong dan perkara paling mudah adalah menyalahkan saya. Itu sebahagian daripada tugas ini, walaupun ia sukar.

“Saya akan bekerja siang malam untuk membetulkan keadaan, tetapi ia bukan tanggungjawab saya seorang sahaja. Tidak syak lagi kami perlu meningkat dan saya perlu menjadi sebahagian daripadanya.”

Spurs hanya meraih dua kemenangan daripada 13 aksi liga di laman sendiri musim ini dan akan berdepan jadual mencabar dengan kunjungan ke gelanggang Liverpool, Aston Villa dan Chelsea yang semuanya memburu slot ke Liga Juara-Juara. – AFP

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *