PL: Everton Tumbang Di Kandang Sendiri

Pemain Everton gagal menyamakan kedudukan setelah gol minit ke-72 Benjamin Sesko meneruskan rentak kemenangan United di bawah kendalian Michael Carrick pada aksi di Stadium Hill Dickinson pada 23 Februari 2026. Foto Manchester United

LIVERPOOL, 23 Feb – Apa sudah jadi dengan pesaing Merseyside, Everton yang terus dirundung duka setelah gol Benjamin Sesko sudah cukup mmbuatkan Manchester United melonjak ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris (PL) dan memintas Chelsea selepas menang 1-0 sekali gus meneruskan permulaan tanpa kalah Michael Carrick selaku bos sementara.

Everton kini gagal mencatat kemenangan dalam tujuh perlawanan di laman sendiri ketika mereka masih bergelut menyesuaikan diri di stadium baharu Hill Dickinson berkapasiti 52,000 tempat duduk.

Anak buah David Moyes terlepas peluang melonjak ke tangga ketujuh apabila terus berada di pinggiran perebutan tiket ke pentas Eropah musim depan.

Gol minit ke-72 Benjamin Sesko meneruskan rentak kemenangan United di bawah kendalian Michael Carrick pada aksi di Stadium Hill Dickinson pada 23 Februari 2026. Foto Getty Images

Everton sebelum ini menang 1-0 ketika kedua-dua pasukan bertemu di Old Trafford pada November lalu walaupun beraksi hampir keseluruhan perlawanan dengan 10 pemain.

Sesko masih belum membuat penampilan sulung dalam kesebelasan utama dalam enam perlawanan di bawah kendalian Carrick, namun dia kini berada pada prestasi terbaik sejak Ruben Amorim dipecat bulan lalu.

Penyerang Slovenia itu yang hanya menjaringkan dua gol dalam 22 penampilan awal selepas perpindahan bernilai £74 juta (RM388 juta) dari RB Leipzig, kini meledak enam gol dalam tujuh perlawanan terakhir.

Kemenangan itu meletakkan United tiga mata di hadapan Chelsea dan Liverpool dalam perebutan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan, dengan hanya lima pasukan teratas layak.

Benjamin Sesko memisahkan United dengan Everton 1-0 di Stadium Hill Dickinson, Liverpool pada 23 Februari 2026. Foto Getty Images

Kualiti gerakan United yang menghasilkan gol kemenangan pada minit ke-71 nyata berbeza dengan aksi keseluruhan perlawanan yang hambar sepanjang 90 minit.

United berubah wajah sejak bekas pemain tengah mereka, Carrick mengambil alih namun kedua-dua pasukan dilihat kekurangan rentak apabila kembali beraksi buat kali pertama dalam tempoh 13 hari.

Jordan Pickford menyelamatkan percubaan Amad Diallo dalam tempoh dua minit pertama yang menjadi satu-satunya peluang terbaik pada babak pertama.

Bryan Mbeumo sekali lagi dipilih menggalas peranan penyerang tengah mengatasi Sesko, namun dia mensia-siakan peluang terbaik pada awal babak kedua apabila rembatan dari sudut sukar melambung tinggi.

Namun Mbeumo tetap memainkan peranan penting dalam gerakan sepasukan cemerlang yang menghadiahkan tiga mata buat pelawat.

Sesko terlebih dahulu melorongkan bola kepada Matheus Cunha di kawasan sendiri sebelum memecut ke hadapan dan menyempurnakan hantaran tepat Mbeumo.

United terpaksa bertahan pada hujung perlawanan apabila Senne Lammens menepis keluar rembatan kencang jarak jauh Michael Keane.

Selepas hanya mencatat dua perlawanan tanpa bolos sepanjang musim sebelum Amorim dipecat, United kini merekodkan tiga dalam enam perlawanan di bawah Carrick sekali gus semakin hampir kembali ke Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh tiga musim.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *