PL: Bos Bayern Jangan Salahkan Liverpool, Newcastle

Rummenigge dikritik peminat bola sepak kerana mempersoalkan pembelian pemain dari Bundesliga ke Liga Perdana Inggeris (PL). Foto FC Bayern Munich
MUNICH, 25 Sep – Karl-Heinz Rummenigge dibidas pelbagai pihak susulan kritikan tidak berasas terhadap pembelian oleh Liverpool dan Newcastle United pada penutup jendela perpindahan hujung bulan lalu.
Menurut laporan, Rummenigge sebenarnya tidak memahami bola sepak bukan sekadar permainan cantik tetapi peningkatan mutu permainan serta kualiti yang ditampilkan mampu menarik peminat menonton setiap kali perlawanan diadakan.
“Beliau (Rummenigge) kena sedar bahawa Bundesliga tidak sepopular Liga Perdana atau LaLiga kerana peminat mendapati perlawanan di Jerman tidak serancak di England atau di Sepanyol.

“Seharusnya beliau berbincang dengan pasukan utama Bundesliga bagaimana mahu menarik peminat bola sepak dari Asia untuk menyaksikan perlawanan dan bukannya menyalahkan pihak lain atas kegagalannya,” kata laporan itu.
Terdahulu, ketua penasihat Bayern Munich itu pada Rabu melancarkan kritikan pedas terhadap urusan perpindahan dua kelab Liga Perdana Inggeris (PL) yang berjaya mendapatkan bintang Bundesliga.
Liverpool menandatangani Florian Wirtz dengan yuran £116 juta (RM657 juta) meskipun turut diburu Bayern, manakala Newcastle pula membawa masuk Nick Woltemade dengan nilai £65 juta (RM368 juta).

Rummenigge, bekas CEO Bayern yang kini berada dalam lembaga penasihat kelab itu, nyata tidak berselindung ketika mengulas kedua-dua perpindahan itu.
“Terus terang saya masih rasa kasihan dengan Florian Wirtz kerana saya fikir dia lebih sesuai bersama Bayern Munich berbanding Liverpool,” kata tokoh berusia 69 tahun itu kepada Welt.
“Kami sebenarnya boleh menandatangani Woltemade. Tetapi saya juga perlu katakan: Bayern harus bijak dan tidak mengikut setiap kegilaan kewangan,” tegasnya.

Ironinya, walaupun menyifatkan yuran Woltemade sebagai ‘gila’, Bayern sendiri menandatangani Luis Diaz dari Liverpool pada musim panas lalu dengan jumlah sama.
Namun Rummenigge menegaskan prinsip kelab tetap berasaskan ‘kewangan berhemah’ tetapi gagal menjelaskan maksud sebenar kegagalannya memikat bintang PL sebaliknya dilihat tidak berpuas hati dengan prestasi semasa Bundesliga.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
