PL: Amorim Terima ‘Hadiah’ Lepas Dibelasah City

Statistik menunjukkan pengendali Manchester United itu kini memegang rekod terburuk dalam kalangan pengurus Liga Perdana Inggeris (PL). Foto Manchester United

LONDON, 15 Sep – Kekalahan memalukan 0-3 kepada seteru setempat, Manchester City malam tadi rupanya memberi suatu ‘rahmat’ besar kepada bos Manchester United, Ruben Amorim.

Susulan kekalahan besar kepada skuad Pep Guardiola, tekanan kian memuncak apabila statistik menunjukkan pengendali Manchester United itu kini memegang rekod terburuk dalam kalangan pengurus Liga Perdana Inggeris (PL).

Dalam aksi ‘derby’ di Etihad, United dimalukan musuh setempat hasil jaringan Phil Foden dan dua gol daripada Erling Haaland, sekali gus mengekalkan permulaan hambar mereka musim ini.

Saat Erling Haaland meraikan jaringan ketika City menewaskan United 3-0 di Stadium Etihad, Manchester pada 14 September 2025. Foto Manchester City

Kekalahan itu menyusul selepas tewas 0-1 kepada Arsenal, seri 1-1 dengan Fulham dan hanya menang tipis 3-2 ke atas Burnley sebelum rehat antarabangsa.

United ketika ini sekadar mengumpul empat mata daripada empat perlawanan, menghuni tangga ke-14 liga dengan perbezaan gol -3, lapan mata ketinggalan di belakang pendahulu, Liverpool.

Lebih memburukkan keadaan, data Opta mendedahkan sejak Amorim mengambil alih pada November lalu, United mengutip hanya 31 mata daripada 31 perlawanan liga, terburuk antara 17 kelab yang kekal sepanjang tempoh itu.

Sejak Amorim mengambil alih pada November lalu, United mengutip hanya 31 mata daripada 31 perlawanan liga, terburuk antara 17 kelab yang kekal sepanjang tempoh itu. Foto Reuters

Rekod itu sama dengan Tottenham, tetapi Red Devils lebih buruk dengan perbezaan gol -13 berbanding -4.

Sementara Liverpool gah dengan 68 mata sepanjang 31 perlawanan terakhir, diikuti Arsenal (64) dan Chelsea (58), United pula terus merudum meskipun Amorim enggan beranjak daripada sistem 3-4-3 yang digunakannya sejak tiba di Old Trafford.

“Ini bukan rekod yang sepatutnya ada pada Manchester United. Saya terima, tapi saya tidak akan ubah falsafah saya.

“Kalau saya nak ubah, saya sendiri akan tentukan, bukan orang lain. Kalau tidak, kelab boleh tukar pengurus,” kata Amorim selepas kekalahan kepada City.

Phil Foden membuka tirai jaringan ketika City menewaskan United 3-0 di Stadium Etihad, Manchester pada 14 September 2025. Foto Manchester City

Walaupun menerima kritikan dan risiko hilang sokongan penyokong, Amorim tetap mempertahankan pendekatannya.

“Saya faham penyokong kecewa, itu normal dengan keputusan begini. Tapi saya lebih menderita daripada mereka. Saya sentiasa fikir apa yang terbaik untuk kelab dan akan lakukan segalanya selagi saya di sini,” katanya.

United yang menamatkan musim lalu di tangga ke-15 kini sekali lagi bergelut di awal musim, dengan Amorim hanya mencatat lapan kemenangan liga sejak memimpin Red Devils.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *