PH Kesal Pengkhianatan ‘Tebuk Atap’ 14 ADUN Umno Negeri Sembilan – Fahmi

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata tindakan itu jelas tidak menghayati semangat Kerajaan Perpaduan. Foto Facebook Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR, 28 Apr – Pakatan Harapan (PH) menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang menarik sokongan kepada kerajaan negeri baru-baru ini.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata tindakan itu jelas tidak menghayati semangat Kerajaan Perpaduan.

“PH menolak keras langkah pengkhianatan yang dilakukan UMNO/BN Negeri Sembilan untuk cuba menebuk atap dan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri, apatah lagi alasan tindakan 14 ADUN berkenaan tidak terkait sama sekali dengan prestasi Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Tindakan berkenaan dilakukan tanpa mempedulikan kebajikan rakyat, malah dilakukan pada ketika Kerajaan Perpaduan dan negara berdepan dengan krisis bekalan global, dan berusaha menguruskan ekonomi serta mengurangkan beban yang dihadapi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata PH memberi komitmen bahawa seperti yang sudah disembah maklum oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa.
“PH akan kekal memberi kerjasama kepada kepimpinan kerajaan negeri demi kestabilan ekonomi negeri dan kebajikan rakyat. PH juga akan terus mempertahan peranan dan fungsi institusi Raja-Raja Melayu,” katanya.

Semalam, kesemua 14 ADUN UMNO dan BN Negeri Sembilan sebulat suara hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin, susulan kemelut pemerintahan yang berlaku.
Namun, Aminuddin berkata, beliau dititahkan oleh Tuanku Muhriz untuk meneruskan tanggungjawab mentadbir negeri itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

