Persefahaman Malaysia-Pakistan Untungkan Negara Islam – Penganalisis

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif menghadiri sesi pertemuan bersama komuniti perniagaan kedua-dua negara di Kuala Lumpur pada 6 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PENDAPAT, 7 Okt – Persefahaman erat yang terjalin antara Malaysia dan Pakistan bakal memberi manfaat besar bukan sahaja dari segi ekonomi kedua-dua negara malah memperkasa ekonomi umat Islam secara tidak langsung.
Selain menegaskan komitmen bersama untuk memperkukuh perpaduan ummah serta menegakkan nilai-nilai sebenar Islam, di samping mengecam genosid yang sedang berlaku di Gaza dan menyeru usaha bersepadu antarabangsa bagi memerangi Islamofobia.

Menurut pandangan penganalisis, Abul Jais Ashfaq Ahmed, sudah sampai masanya Malaysia mengajak negara-negara Islam seperti Pakistan, Afghanistan dan negara di Asia Tengah meningkatkan perdagangan dan ekonomi ummah dengan bersandarkan prinsip maqasid syariah selaras dengan ajaran agama.
“Amat penting bagi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 menggunakan pelantar ini bagi menyeru negara-negara Islam di rantau Asia Tengah seperti Pakistan, Kazakhstan, Turkmenistan, Kyrgystan dan Azerbaijan membangunkan kerangka ekonomi ummah berlandaskan fahaman maqasid syariah.

“Ini penting bagi memastikan kekayaan dan sumber ekonomi negara-negara berkenaan dapat dimanfaatkan khusus bagi kesejahteraan ummah apabila nilai perdagangan dan pelaburan ditingkatkan secara holistik dan menyeluruh”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat dua hala antara kedua-dua pemimpin iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif pada Selasa.

Abul Jais turut menekankan kepentingan Ekonomi MADANI yang diterap Perdana Menteri sebagai suatu bentuk dasar dan panduan meningkatkan kefahaman negara berkenaan menerusi satu jalinan kerjasama yang boleh diaktifkan di peringkat kementerian perdagangan dan pelaburan masing-masing.
Menerusi kenyataan itu, kedua-dua pemimpin menegaskan komitmen kedua-dua negara untuk menangani cabaran antarabangsa melalui kaedah damai, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan.

Ketika pertemuan itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan isu geopolitik, khususnya konflik yang berlarutan di Timur Tengah dan situasi kemanusiaan di Negeri Rakhine, Myanmar, yang menjejaskan komuniti Muslim Rohingya.
“Dalam konteks ini, kedua-dua pemimpin mengecam sekeras-kerasnya genosid yang sedang berlaku di Gaza serta menegaskan sokongan padu terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan menubuhkan sebuah negara Palestin yang berdaulat, berdaya maju, bersempadan berterusan dan merdeka berdasarkan sempadan sebelum Jun 1967, dengan Al-Quds Al-Sharif sebagai ibu negaranya.

“Mereka turut menyeru agar gencatan senjata dilaksanakan segera, tanpa syarat dan secara kekal, sekatan terhadap Gaza dihentikan, semua orang awam dilindungi serta aliran bantuan kemanusiaan kepada mangsa diteruskan tanpa halangan,” menurut kenyataan itu.
Ketika sidang media berkenaan, Anwar dan Shehbaz turut memuji usaha masyarakat antarabangsa dalam mencari langkah pragmatik bagi menyelesaikan isu pemberian taraf kenegaraan kepada Palestin.

“Kedua-dua pemimpin membincangkan ancaman yang semakin meningkat terhadap keamanan dan keselamatan di rantau ini. Mereka menekankan kepentingan untuk semua pihak bertindak dengan berhemah dan penuh tanggungjawab serta menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah sesebuah negara.
“Mereka juga bersetuju bahawa sebarang pertikaian perlu diselesaikan melalui cara damai selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan,” menurut kenyataan bersama itu.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
