Perpustakaan Perlu Berubah Jadi Ruang Terbuka Penyebaran Ilmu – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir merasmikan Persidangan dan Mesyuarat Agung Kongres Pustakawan Asia Tenggara ke-19 (CONSAL XIX) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 17 Jun 2025. Foto CONSAL XIX

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Model perpustakaan di negara serantau diseru perlu terus berubah seiring zaman digital kini bagi menarik minat masyarakat ke gedung ilmu itu, gesa Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika berucap merasmikan Persidangan dan Mesyuarat Agung Kongres Pustakawan Asia Tenggara ke-19 (CONSAL XIX) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini, Perdana Menteri yang juga Pengerusi ASEAN 2025 berkata, walaupun perpustakaan dilihat masih berdaya tahan, ia perlu dijadikan pusat ilmu yang bertenaga dan ceria kepada masyarakat.

“Jadi berita baiknya adalah untuk para pustakawan walaupun di Asia, dengan segala cabaran dan kesukaran yang telah kita lalui dan alami, perpustakaan masih tetap bertahan.

“Begitu juga dengan para pustakawan, tetapi anda semua memikul satu tugas yang besar, bukan sahaja untuk menyebarkan pengalaman itu, dan ilmu yang terkandung dalam buku-buku tetapi juga untuk menjadikan perpustakaan sebagai pusat ilmu ceria dan bertenaga,” ujar beliau.

Tambah Anwar, warga pustakawan juga mempunyai peranan penting dalam menarik minat masyarakat terutama pelajar agar menjadikan perpustakaan sebagai pusat ilmu pilihan mereka.

“Saya rasa sejak dulu lagi saya pernah sebut, bahawa para pustakawan ini ada tanggungjawab besar untuk pastikan pelajar suka pergi ke perpustakaan.

“Bukan semata-mata kerana ada penyaman udara. Tapi bila dah sampai sana (perpustakaan), pustakawan mesti mampu ‘memikat’ pelajar-pelajar ini dengan memperkenalkan buku-buku dan menggalakkan mereka membaca,” katanya.

Mengulas lanjut kata Anwar, dalam dunia serba moden ketika ini perpustakaan bukan sahaja menjadi pusat mendapatkan ilmu dari pembacaan semata-mata.

Sebaliknya, boleh menjadi medium aktiviti-aktiviti penyebaran ilmu yang lebih terbuka.

“Inilah yang diperlukan oleh masyarakat terutamanya golongan muda dan para pelajar. Mereka mahu perpustakaan yang membolehkan mereka membaca dalam suasana sunyi, tetapi pada masa yang sama juga mahukan ruang yang terbuka, hidup, dan berhubung berkait rapat dengan budaya dan seni.

“Tempat bukan sahaja untuk buku, tapi juga podcast, filem, pangkalan data, e-buku dan pelbagai bentuk media lain yang mencerminkan cara manusia belajar dan meneroka pada hari ini,”katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K. Saraswathy dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *