Perlu Kawal Sumber Alam Walau Negeri Perlu Tambah Hasil – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Cebu, Filipina pada 8 Mei 2026. Foto Bernama

CEBU, 8 Mei – Kerajaan memahami keperluan negeri untuk menambah sumber pendapatan, namun sebarang aktiviti membabitkan sumber alam perlu dilaksanakan secara terkawal serta mematuhi syarat ketat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, kerajaan pusat tidak menolak keperluan negeri mencari hasil tambahan, tetapi ia perlu mengambil kira kepentingan alam sekitar, keselamatan penduduk dan kedudukan ekonomi negara secara menyeluruh.

Perkara itu diulas beliau susulan dibangkitkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berhubung usaha meningkatkan hasil negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan di hadapan pemimpin-pemimpin ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di Cebu, Filipina pada 8 Mei 2026. Foto PMO

“Saya hormat Tengku Mahkota, tetapi sepatutnya Tengku Mahkota patut faham juga tentang makro bahawa peruntukan ke negeri Pahang itu besar, bukan kecil.

“Saya akan minta Menteri Kewangan II menulis, memberikan penjelasan keseluruhannya, peruntukan untuk negeri Pahang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Cebu, Filipina, hari ini.

Anwar berkata, kerajaan terbuka menerima teguran, namun sebarang pandangan perlu dilihat secara menyeluruh termasuk tekanan ekonomi semasa, kedudukan fiskal negara dan usaha menangani pembaziran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan di hadapan pemimpin-pemimpin ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di Cebu, Filipina pada 8 Mei 2026. Foto PMO

“Sementara boleh memberi teguran, tetapi saya fikir munasabah kalau dengar dulu apa dia konsep makro ekonomi, apa dia tekanan ekonomi sekarang, apa dia pembaziran yang berlaku oleh banyak kalangan.

“Jadi harus kita tangani ini semua. Tentunya sebagai rakyat, kita hormati dan kita teliti dengan baik,” katanya.

Terdahulu, Tengku Hassanal dilaporkan menzahirkan rasa kecewa terhadap kerajaan pusat berhubung kerajaan pusat tidak meluluskan usaha meningkatkan hasil negeri Pahang seperti mengeksport pasir sungai.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *