Dua Adun Bersatu Dipecat, Tujuh Wakil Rakyat Digantung

Nama-nama wakil rakyat yang dipecat atau digantung daripada Bersatu berkuat kuasa serta merta pada 8 Mei 2026. Foto Nazril Iznin
KUALA LUMPUR, 8 Mei – Lembaga Disiplin Bersatu memecat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu, manakala tujuh lagi wakil rakyatnya digantung keahlian selama dua penggal pemilihan, berkuat kuasa serta-merta.
Setakat jam 8.30 malam ini, dua ADUN yang dipecat ialah wakil rakyat di Kedah membabitkan Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang) yang merupakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, serta Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti) yang juga Ketua Bersatu Bahagian Alor Setar.
Tujuh wakil rakyat yang digantung keahlian pula termasuk lima Ahli Parlimen, iaitu Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Khalib Abdullah (Rompin), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Datuk Rosli Wahid (Hulu Terengganu) dan Khlir Mohd Nor (Ketereh).

Dua lagi digantung ialah ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain yang juga Ketua ARMADA Bahagian Padang Rengas, dan ADUN Kuala Sepetang, Ahmad Man.
Selain itu, Ketua Bersatu Bahagian Hulu Langat, Muhammad Faiz Rahmad yang merupakan Naib Ketua ARMADA Nasional, turut dipecat berkuat kuasa hari ini.
Semua notis tindakan disiplin itu yang bertarikh hari ini, ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan.

Menurut notis itu, Lembaga Disiplin memutuskan tindakan pemecatan berkenaan bawah Fasal 22.5 atas tindakan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Mengikut Fasal 22.5, mereka yang dikenakan tindakan penggantungan keahlian bagi tempoh dua penggal pemilihan parti juga adalah atas tindakan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Berikutan itu, mereka secara langsung dilucutkan segala jawatan yang dipegang dan tidak boleh membuat sebarang kenyataan atas nama parti hingga tamat tempoh penggantungan.
Bagaimanapun, mereka yang dipecat dan digantung itu boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

