Perkukuh Kerjasama Kerajaan Persekutuan-Sabah Selepas PRN – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Program Rapat Umum dan Himpunan KEADILAN Sempena 27 Tahun Reformasi di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni, Inanam pada 26 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KOTA KINABALU, 26 Sep – Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sabah mesti terus diperkukuhkan serta sentiasa berada dalam keadaan baik selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menekankan bahawa perkara itu penting bagi memastikan Kerajaan MADANI berupaya membantu Sabah mempercepatkan pelaksanaan pembangunan negeri yang masih ketinggalan berbanding di Semenanjung.
Beliau berkata, ia termasuk dalam aspek infrastruktur jalan raya dan prasarana sekolah serta hospital yang lebih baik demi manfaat rakyat secara keseluruhan.

“Hubungan Kerajaan Persekutuan dengan negeri mesti baik supaya lebih banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan untuk faedah rakyat.
“Apabila ada kuasa, kita mesti melakukan sebaik mungkin untuk negara dan rakyat.
“Impian saya ialah rakyat bersatu dan memastikan anak-anak sama ada di Kuala Lumpur mahupun di Kelantan atau Keningau, Kota Marudu, Inanam dan semua kawasan di Sabah, merasakan mereka ada peluang serta harapan di dalam negara Malaysia,” katanya.

Beliau yang juga Presiden KEADILAN berkata demikian ketika berucap pada Himpunan dan Temu Rapat Umum Sempena 27 Tahun Reformasi KEADILAN, di sini, hari ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
