Pergolakan Pas, Bersatu Akibat Kebodohan Masing-Masing

Kemelut di Perlis yang tercetus hingga menyebabkan Muhyiddin meletak jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebenarnya mendedahkan lagi kelemahan PN walaupun Pas cuba ‘memperbaiki’ atap yang bocor dengan menolak Muhyiddin secara total tanpa memikir masa depan PN sendiri.
PENDAPAT, 12 Jan – Realiti politik semasa menunjukkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini berada dalam keadaan yang semakin tenat akibat konflik dalaman yang berpanjangan.
Pergolakan kepimpinan, perebutan pengaruh serta pertembungan ego antara tokoh-tokoh utama parti itu bukan lagi rahsia, malah semakin terbuka kepada tatapan umum.
Sama ada ‘kem Muhyiddin Yassin’ atau ‘kem Hamzah Zainudin’, kedua-duanya tidak mampu lagi menyapu kehancuran ‘di bawah permaidani’ kerana busuk pekungnya sudah ‘semerbak’ ke seluruh negara.

Apa yang lebih membimbangkan, krisis ini tidak menampakkan sebarang tanda untuk diredakan, sebaliknya terus melemahkan struktur dan kepercayaan akar umbi terhadap Bersatu sebagai sebuah parti yang ‘boleh diharapkan’ tetapi nampaknya makin kelabu umpama ‘video kabur di Sandakan’.
Kelemahan Bersatu ini secara langsung memberi kesan kepada keseluruhan gabungan pembangkang. Parti yang sepatutnya menjadi tonggak kepada naratif alternatif kerajaan kini lebih sibuk menyelesaikan masalah dalaman berbanding merangka dasar atau menawarkan solusi kepada rakyat.
Apabila parti sendiri gagal diurus dengan baik, bagaimana mungkin mereka mampu meyakinkan rakyat untuk mentadbir negara?

Jangan lihat sahaja kepada Bersatu, Pas juga tidak terkecuali daripada berdepan risiko serupa. Jika Pas memilih untuk bergaduh sesama sendiri, terperangkap dalam percaturan kuasa dalaman dan permainan sentimen yang sempit, maka kesannya bukan sahaja merugikan parti itu, malah keseluruhan blok pembangkang.
Pertelagahan dalaman hanya akan menghakis keyakinan pengundi yang semakin matang dan muak dengan politik perbalahan tanpa hala tuju seperti yang dilihat kini apabila selepas lebih 10 hari, pengganti Muhyiddin belum nampak-nampak lagi.
Kesengsaraan rakyat ketika Abdul Hadi dan Muhyiddin ‘tebuk atap’ selama 33 bulan masih terngiang-ngiang dalam kalangan majoriti rakyat Malaysia, mujur selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, puak-puak pengkhianat ini ‘tak cukup jumloh’ sehingga ke hari ini.

Hakikatnya, Kerajaan MADANI di Putrajaya tidak kekal berkuasa semata-mata kerana kekuatan sendiri, tetapi juga kerana kelemahan PN sendiri. Apabila pembangkang gagal bersatu, gagal berfikir secara strategik dan gagal mendahulukan kepentingan rakyat, mereka sendiri membuka laluan mudah kepada kerajaan untuk terus kekal mentadbir.
Maka, jika akhirnya Putrajaya terus berada di tangan Kerajaan MADANI, janganlah menyalahkan pihak lain. Kadangkala, musuh terbesar bukanlah lawan politik di seberang, tetapi kebodohan sendiri yang enggan belajar daripada kesilapan, enggan berubah dan terus terperangkap dalam kitaran konflik yang memusnahkan diri seperti yang kita lihat hari ini.

Tapi kita ucapkan ‘jutaan terima kasih’ kepada pembaca doa ‘qunut nazilah’ kerana ‘mendoakan’ kehancuran Kerajaan MADANI, akhirnya yang hancur ialah PN sendiri.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
