Peranan Ahli Psikologi Dan Kaunseling Dalam Membangunkan Generasi MADANI

Dalam usaha membentuk Generasi MADANI, iaitu generasi yang berintegriti, matang, seimbang dari segi emosi, spiritual dan sosial, maka satu kelompok profesional yang tidak boleh diketepikan sama sekali ialah ahli psikologi dan kaunseling. Foto PMO
PENDAPAT, 6 Mei – Konsep Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri bukan sekadar slogan politik, tetapi merupakan gagasan pembangunan menyeluruh yang berteraskan nilai kemanusiaan, akhlak mulia, serta kesejahteraan menyeluruh untuk rakyat Malaysia. Dalam usaha membentuk Generasi MADANI, iaitu generasi yang berintegriti, matang, seimbang dari segi emosi, spiritual dan sosial, maka satu kelompok profesional yang tidak boleh diketepikan sama sekali ialah ahli psikologi dan kaunseling.
Kedua-dua bidang ini bukan sahaja berkaitan dengan rawatan masalah mental, tetapi lebih luas daripada itu — meliputi pemahaman mendalam tentang potensi, nilai, motivasi, tingkah laku, pembinaan sahsiah dan pemupukan daya tahan manusia. Dalam konteks pembangunan negara, mana-mana program yang melibatkan manusia dan masyarakat, andai mengabaikan dimensi psikologi dan kaunseling, pasti akan berhadapan dengan kesukaran, kemacetan, dan bahkan kegagalan.

1. Menyemai Nilai MADANI Melalui Pendekatan Psikologi Nilai
Generasi MADANI ialah generasi yang hidup dan beramal dengan nilai-nilai murni seperti ihsan, adil, hormat, kasih sayang, kebebasan dengan tanggungjawab, dan integriti. Nilai-nilai ini tidak boleh hanya diajar secara kognitif, tetapi mesti ditanam dan dihayati melalui proses psikologi yang tersusun, berperingkat dan berterusan. Ahli psikologi, khususnya dalam bidang psikologi perkembangan dan psikologi nilai, mempunyai kaedah saintifik untuk memahami bagaimana nilai terbentuk, dijadikan amalan, dan diwariskan kepada generasi seterusnya.
Ahli kaunseling pula mampu menyantuni jiwa-jiwa muda dalam proses pembentukan jati diri, pengurusan emosi, penyesuaian diri dalam masyarakat serta menangani krisis hidup yang boleh menggugat pegangan nilai seseorang. Tanpa bimbingan dan pengukuhan ini, proses melahirkan generasi MADANI akan menjadi tempang.
2. Intervensi Awal terhadap Masalah Sosial dan Psikososial
Realiti hari ini menunjukkan peningkatan masalah psikososial dalam kalangan belia dan masyarakat. Kes tekanan mental, kemurungan, kecelaruan identiti, kehilangan hala tuju hidup, penyalahgunaan dadah, buli siber, pornografi, dan pelbagai lagi masalah emosi semakin menular. Ini menandakan satu kerosakan asas dalam pembangunan jiwa.
Ahli psikologi klinikal dan kaunselor berdaftar merupakan barisan hadapan yang dapat mengesan, menangani dan mencegah masalah ini dari akar umbi. Namun, malangnya bilangan mereka yang aktif dan diberi ruang untuk menyumbang secara sistematik masih belum mencukupi. Lebih membimbangkan, ramai dalam kalangan kaunselor dan ahli psikologi muda yang tidak diberikan tempat sewajarnya dalam dasar pembangunan negara.

3. Kepakaran Mereka Harus Diperkasakan — Termasuk Yang Telah Bersara
Negara kini memiliki ribuan ahli psikologi, kaunselor, pakar pendidikan dan tenaga penggerak pembangunan insan yang telah bersara, tetapi masih mempunyai keupayaan intelektual, pengalaman, dan semangat juang untuk menyumbang. Sayangnya, ramai di antara mereka terpinggir dan tidak diangkat kembali ke arus perdana.
Dalam usaha membangunkan Generasi MADANI, golongan ini perlu diaktifkan semula melalui pelantikan sebagai mentor, fasilitator komuniti, penyelidik lapangan, atau tenaga sokongan dasar. Mereka boleh dilibatkan dalam pelbagai program komuniti, pendidikan, latihan kepimpinan, dan pembangunan modal insan.
Mereka yang masih bertugas dalam sektor ini pula perlu diberikan pengiktirafan, latihan lanjutan, peluang penyelidikan dan ruang mempengaruhi dasar-dasar awam. Selama ini mereka lebih banyak bertugas dalam skop yang terbatas — di sekolah, jabatan kebajikan, hospital — tanpa dimobilisasi dalam agenda besar negara.
4. Membentuk Kepimpinan Emosi dan Sosial
Generasi MADANI bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik atau kemahiran teknikal, tetapi juga melalui kebijaksanaan emosi (emotional intelligence), kecekapan sosial, dan keupayaan berempati serta mengurus konflik. Aspek ini sangat penting dalam membentuk pemimpin berjiwa rakyat, bukan pemimpin teknokratik yang kaku atau autoritarian.
Melalui modul pembangunan EQ, latihan kepimpinan nilai, dan sesi simulasi interpersonal yang dipimpin oleh kaunselor dan ahli psikologi, satu barisan pemimpin baharu yang lebih berperikemanusiaan dapat dilahirkan. Ini juga seiring dengan falsafah MADANI yang menolak gaya pemerintahan keras dan mementingkan keadilan sosial serta pendekatan mesra rakyat.
5. Psikologi Sosial dan Perpaduan Negara
Dalam negara majmuk seperti Malaysia, isu seperti perkauman, salah faham agama, jurang ekonomi dan politik identiti adalah antara cabaran yang mengekang kemajuan bersama. Ahli psikologi sosial dan kaunselor komuniti berperanan sebagai ejen integrasi sosial, dialog antara budaya dan pendorong kepada keharmonian masyarakat.

Mereka dapat merangka program pembinaan persefahaman, sesi healing atau penyembuhan sosial, serta platform interaktif bagi mengurangkan prejudis dan membina jambatan empati antara kumpulan etnik. Ini adalah bahagian penting dalam membentuk sebuah Malaysia MADANI yang kukuh asas sosialnya.
6. Penglibatan dalam Penyelidikan dan Dasar Awam
Akhir sekali, ahli psikologi dan kaunseling tidak seharusnya terpinggir dari meja rundingan dasar. Mereka perlu dilibatkan secara aktif dalam pembentukan polisi berkaitan pendidikan, kesihatan mental, keselamatan sosial, pembangunan belia dan keluarga. Suara mereka harus dianggap sebagai suara saintifik yang kritikal dalam memahami tingkah laku rakyat dan meramalkan impak dasar terhadap masyarakat.
Penyelidikan mereka juga perlu diberi dana dan galakan agar dapat memberi sumbangan konkrit kepada negara. Misalnya, kajian longitudinal tentang keberkesanan pendidikan nilai MADANI di sekolah atau kesan intervensi kaunseling terhadap pencegahan gejala sosial, boleh dijadikan rujukan nasional.
Kesimpulan: Usah Abaikan Ilmu Jiwa Dalam Bina Bangsa & Negara
Sebuah hadis sahih menyatakan bahawa dalam jasad anak Adam itu ada seketul daging yang jadi penentu nilai kualiti seseorang insan itu. Daging itu adalah kalbu. Inilah fokus utama tugas ahli psikologi dan kaunseling.

Ringkasnya, tanpa penglibatan ahli psikologi dan kaunseling, agenda membangunkan manusia yang seimbang, beradab dan berintegriti akan berhadapan dengan pelbagai kemelut. Generasi MADANI hanya akan menjadi slogan tanpa roh jika tiada pembangunan jiwa yang tersusun.
Kini, tibalah masanya untuk kerajaan, NGO, institusi pendidikan dan komuniti membuka ruang lebih besar kepada mereka yang terlatih dalam bidang ini untuk kembali memimpin arus pembangunan insan. Mereka bukan sekadar pelengkap, tetapi pemandu kepada arah tuju sebuah negara yang benar-benar berjiwa MADANI.
– Oleh: Bahrom Abu Bakar (Kaunselor Berdaftar, LKM).
(Penulis adalah mantan Kaunselor UIAM, Pensyarah Psikologi & Kaunseling di UM, IAB. Kini menggerakkan sebuah Pusat Kaunseling Komuniti serta khidmat psikologi & kaunseling untuk agensi-agensi Kerajaan & swasta).
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
