Tarif AS: Malaysia Perlukan Daya Tahan Ekonomi Domestik Tinggi – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Peluncuran Peluang Pekerjaan dan Penyerahan Surat Tawaran PLKI-ECRL bagi Fasa Pengoperasian dan Penyelenggaran ECRL di Kuala Lumpur pada 6 Mei 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia perlu mempunyai daya tahan ekonomi domestik yang tinggi bagi menempuh cabaran global supaya negara ini mampu bergantung kepada keupayaan sendiri.
Penegasan beliau mempunyai hujah yang jelas kerana ia turut berdasarkan kemampanan dan kelestarian ekonomi negara bagi jangka masa panjang.

Perdana Menteri berkata daya tahan itu penting kerana ia pada masa sama mampu menyokong kehadiran pelabur asing ke sini, apatah lagi Malaysia kini menjadi antara pilihan dalam bidang semi-konduktor.
Atas dasar itu katanya, adalah penting untuk negara mempunyai disiplin, sikap positif, yakin dengan pendirian, selain menggunakan peluang yang ada bagi memanfaatkan ruang berkenaan.

“Saya rumuskan bahawa Malaysia kalau hendak maju dan yakin, memerlukan kekuatan dalaman dahulu melalui daya tahan ekonomi domestik.
“Pendekatan itu lebih selamat, di mana negara harus aman, damai dan mempunyai dasar jelas maknanya kita bergantung kepada keupayaan kita,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Peluang Pekerjaan dan Penyerahan Surat Tawaran PLKI-ECRL bagi Fasa Pengoperasian dan Penyelenggaran ECRL.
Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
