Pengunjung Gaya Street Teruja Kunjungan PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan sesi ramah mesra atau walkabout serta bersarapan bersama komuniti setempat di Pasar Gaya Street, Jalan Gaya, Kota Kinabalu pada 9 November 2025. Foto Instagram Anwar Ibrahim
KOTA KINABALU, 9 Nov – Cuti hujung minggu di bandaraya ini tiba-tiba dikejutkan dengan kehadiran pemimpin nombor satu negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beramah mesra dan para pengunjung Pasar Gaya Street di sini tidak menyangka akan dapat menatap wajah Perdana Menteri secara dekat hari ini.

Seorang pengunjung, Robert Lius, 56, berkata beliau amat teruja kerana berpeluang berjumpa dan bersalaman dengan Perdana Menteri yang mengadakan sesi ramah mesra atau walkabout serta bersarapan bersama komuniti setempat di pasar yang terletak di Jalan Gaya, di sini.

Malah rata-rata ada di antaranya tidak mengetahui Perdana Menteri berada di sini yang memulakan lawatan kerja tiga hari bermula semalam sehingga esok dengan destinasi terakhir di Tawau bagi program bersama rakyat di sana.

“Hari ini saya datang bersama keluarga untuk membeli pelbagai barangan dan kebetulan pula Perdana Menteri hadir di sini. Saya sebenarnya tidak tahu, Perdana Menteri akan datang, rasa bertuah dapat berjumpa beliau,” katanya.

Kesempatan tersebut dimanfaatkan orang ramai untuk bergambar serta melihat sendiri Perdana Menteri secara dekat diiringi pengawal keselamatan yang membantu melancarkan sesi berkenaan.

Terdahulu ketibaan Anwar pada 8.35 pagi disambut oleh Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Seri Dr Sabin Samitah serta pengunjung di pasar itu yang lebih dikenali sebagai ‘Tamu Gaya Street’.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah.

Anwar memulakan sesi lawatan dengan mendengar taklimat daripada pihak DBKK sebelum meluangkan kira-kira sejam beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung di pasar berkenaan, yang terkenal termasuk di kalangan pelancong asing.

Sesi berkenaan juga merapatkan hubungan antara Perdana Menteri dengan masyarakat sekitar sini yang amat berharap beliau mendengar sendiri permasalahan dan isu semasa membabitkan mereka.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
